ABDUL Ghani Salleh ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR bagi mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri, hari ini. FOTO Bernama.
ABDUL Ghani Salleh ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR bagi mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri, hari ini. FOTO Bernama.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos.

Beliau berkata, bagi tempoh berkempen, ia ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos.

Katanya, dianggarkan PRN di enam negeri ini memerlukan peruntukan sebanyak RM420 juta.

"Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN adalah daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan bulan April tahun 2024 yang dikemaskini sehingga 21 Jun 2023.

"DPPR bagi PRN ini mengandungi seramai 9,773,571 orang pemilih yang terdiri daripada 9,674,456 orang pengundi biasa, 49,660 orang tentera serta pasangan, 47,728 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 1,727 orang pengundi tidak hadir luar negara," katanya pada sidang medianya di Menara SPR di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata, PRN ini diadakan bagi mengisi kekosongan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, 45 Dun Kelantan, 32 Dun Terengganu, 40 kerusi Dun Pulau Pinang, 56 Dun Selangor dan 36 Dun Negeri Sembilan.

Beliau berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara dibuka bermula 15 Jun lalu.

Tarikh tutup permohonan adalah 26 Julai bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media.

"Pada 8 Julai pula adalah tarikh tutup bagi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan 11 Julai membabitkan kategori 1C iaitu agensi dan organisasi," katanya.

Abdul Ghani berkata, seramai 153,760 petugas akan dilantik mengendalikan proses PRN.

Katanya, sebanyak 3,190 pusat mengundi biasa yang mengandungi 17,048 tempat mengundi atau saluran dan 260 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.

"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 3,450 buah dengan 17,425 tempat mengundi atau saluran," katanya.

Sebelum ini Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lepas, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 12:21 PM