MAZLAN ketika sidang media. FOTO Hazreen Mohamad
MAZLAN ketika sidang media. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Seramai 9,356 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan untuk mengawal keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kekuatan penugasan PDRM itu hanya membabitkan kontinjen Sarawak.

"Kita (PDRM) bersiap-sedia dan tidak mempunyai sebarang masalah menghadapi penugasan PRN Sarawak tidak lama lagi.

"Setakat ini, keanggotaan dari negeri berkenaan adalah mencukupi dan Bukit Aman kemungkinan akan menambah keanggotaan sekiranya diperlukan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan PRN Sarawak dengan menetapkan 6 Disember sebagai hari penamaan calon, hari pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian pada18 Disember.

Mazlan menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang kekecohan dan mematuhi SOP sepanjang tempoh PRN Sarawak.

Mengenai pemantauan pematuhan SOP di seluruh negara, beliau berkata, 2,596 pasukan pematuhan SOP ditugaskan memantau pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kita memberi penekanan kepada pematuhan SOP berikutan ketika ini banyak sektor sudah dibuka dan orang ramai bergerak.

"Apabila sudah keluar, sudah tentu ada antara mereka kadangkala melanggar SOP. Jika kita terkesan ada pelanggaran SOP dan masih berdegil, kita akan ambil tindakan kompaun mengikut Akta 342" katanya.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan rakyat terus patuh terhadap SOP yang ditetapkan kerajaan bagi mengawal penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 2:14 PM