Kamarul Zaman membuat pelepasan Pergerakan Bantuan Sumber Manusia PRN Kontinjen Johor di IPK. FOTO IHSAN POLIS
Kamarul Zaman membuat pelepasan Pergerakan Bantuan Sumber Manusia PRN Kontinjen Johor di IPK. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Seramai 1,583 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Johor digerakkan bagi membantu kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor Sabtu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bantuan sumber manusia itu membabitkan lapan pegawai kanan dan 1,575 pegawai rendah.

Katanya, penugasan bantuan sumber manusia ini akan berjalan selama lima hari bermula hari ini hingga 14 Ogos depan.

"Bagi pegawai atau anggota yang tidak disenaraikan dalam semboyan e-siar ini, mereka dikehendaki berada dalam keadaan siap siapa untuk digerakkan pada bila-bila masa tertakluk kepada arahan semasa.

"Penugasan ini untuk memastikan keselamatan di tempat mengundi, lalu lintas dan keselamatan orang ramai sepanjang PRN berlangsung," katanya dalam ucapan pada Majlis Pelepasan Pergerakan Bantuan Sumber Manusia PRN ke 15 Kontinjen Johor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) di sini, hari ini.

Pada 16 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata seramai 9,600 pegawai dan anggota akan dihantar ke enam negeri yang terbabit dengan PRN bagi memastikan proses mengundi berjalan lancar.

Katanya kesemua anggota berkenaan diselaraskan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berdasarkan permohonan yang dibuat bagi negeri yang terbabit PRN.

"Setiap negeri meminta bantuan anggota seperti Terengganu mohon lebih 2,000, Selangor dan Kelantan hampir 2,000, Pulau Pinang mohon 663 anggota dengan jumlah keseluruhan sebanyak 9,600 anggota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 10:49 AM