BERNAMA

Kuala Lumpur: Aduan berkaitan mangsa gangguan seksual membabitkan golongan lelaki yang diterima menerusi Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) semakin meningkat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kementeriannya menerima 1,486 kes aduan berkaitan gangguan seksual menerusi PSSS sepanjang tempoh 14 siri Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual diadakan.

"Daripada jumlah itu, 411 kes (27.7 peratus) membabitkan mangsa lelaki," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Pada 29 Oktober lalu, beliau berkata, PSSS menerima 1,213 laporan daripada mangsa gangguan seksual sepanjang 12 siri Program Jerayawara sejak dilancarkan Mei lalu dengan 351 individu atau 28.9 peratus adalah lelaki.

Dalam pada itu, menjawab soalan Senator Datuk Husain Awang berkaitan sejauh mana keberkesanan Program Jerayawara mampu mengelakkan gangguan seksual di rumah dan tempat kerja, Aiman Athirah berkata, berdasarkan maklum balas 97.6 peratus peserta program itu, ia menunjukkan peningkatan terhadap tahap kesedaran dan pemahaman berkaitan gangguan seksual.

"Bagi memastikan gangguan seksual difahami dan meningkatkan kesedaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sudah melaksanakan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di 14 negeri membabitkan 19,423 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, pelbagai program advokasi diadakan bersama pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan bagi pencegahan dan meningkatkan kesedaran gangguan seksual di premis masing-masing.

"Sebanyak 54 program advokasi sudah dilaksanakan dengan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) membabitkan 9,354 peserta.

"Selain itu, promosi serta hebahan juga diperluas melalui media sosial dan media massa membabitkan 3.5 juta pendengar, penonton dan pembaca," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 1:49 PM