Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Permatang Pasir di Permatang Pauh dan Bayan Lepas di sini, menjadi dua kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, namun pihaknya juga turut mengadakan pemantauan di kawasan lain bagi memastikan proses sepanjang PRN berlangsung dengan baik.

"Menerusi Op Cantas juga kita kenal pasti kawasan yang membabitkan kongsi gelap yang dibimbangi boleh mempengaruhi dan mengganggu perjalanan PRN.

"Kita juga sudah kenal pasti 'bad character' di kawasan pilihan raya selain memantau badan bukan kerajaan (NGO) menerusi media sosial yang dipercayai berselindung di belakang kongsi gelap, membantu kempen atau menimbulkan kegusaran awam.

"Kita sudah kenal pasti siapa yang terbabit, aktif atau tidak dan berapa jumlah kongsi gelap di Pulau Pinang, semuanya kita sudah ada senarai malah kita akan pastikan mereka tidak jadi orang tengah serta mengganggu proses PRN," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kok Chin berkata, seramai 6,776 pegawai dan anggota bagi Kontinjen Pulau Pinang terbabit dengan penugasan sepanjang PRN di negeri ini.

Selain itu terdapat penambahan seramai 633 pegawai dan anggota dari Bukit Aman dan negeri yang tidak terbabit dengan PRN.

"Terdapat sebanyak 23 pusat penamaan calon yang mana sembilan di daerah Timur Laut, masing-masing lima di Barat Daya dan Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara (tiga) dan satu di Seberang Perai Selatan.

"Keseluruhan penugasan keanggotaan yang paling ramai adalah membabitkan daerah Timur Laut iaitu seramai 1,641 pegawai dan anggota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 3:52 PM
KHAW Kok Chin pada sidang media persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang hari ini. FOTO Mikail Ong.
KHAW Kok Chin pada sidang media persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang hari ini. FOTO Mikail Ong.