Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin. FOTO MIKAIL ONG
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Keseluruhan sebanyak 87 laporan diterima Polis Pulau Pinang berhubung pelbagai kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sejak 29 Julai hingga Sabtu lalu.

Setakat ini sebanyak 44 kes sudah dibuka kertas siasatan yang mana dua daripadanya membabitkan Kertas Enkuiri Polis (KEP) iaitu berhubung tidak puas hati berkenaan artikel di media sosial.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 20 daripadanya adalah membabitkan penggunaan kad pengenalan milik individu lain dalam proses pengundian.

"Sebanyak 10 kes membabitkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan bahan kempen seperti bendera atau kain rentang parti.

"Terdapat kes membabitkan peti undi tidak berkunci dan ia akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ia adalah di bawah bidang kuasa mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kok Chin berkata, lima kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan / Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 berkaitan fitnah terhadap calon parti bertanding.

Manakala lain-lain siasatan membabitkan Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan / 233 AKMM 1998 berkenaan isu 3R; Seksyen 379 Kanun Keseksaan berhubung curi kain rentang dan Seksyen 24B (7) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 iaitu larangan memasang bendera parti dalam jarak 50 meter dari tempat mengundi.

"Juga satu kes membabitkan ugutan dan Seksyen 3(1)Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu cetakan mirip kertas undi dipercayai di barong gabungan.

"Tiada tangkapan dibuat, kita akan siasat dan rujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan selanjutnya," katanya lagi.

Pada PRN lalu di Pulau Pinang, seramai 5,776 pegawai dan anggota polis terbabit dengan penugasan yang meliputi kawalan keselamatan dan lalu lintas di 334 Pusat Pengundian menerusi 2,138 saluran.

habis

GEORGETOWN 15 OGOS 2023. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin memberi kenyataan media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang membongkarkan makmal haram memproses dadah jenis heroin dengan tangkapan tiga lelaki warga tempatan serta merampas dadah 30 bungkusan dadah jenis heroin anggaran berat 13,500 gram dan dua kotak rokok jenis mushroom bernilai RM198,600 pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang di sini hari ini. NSTP/MIKAIL ONG

From: Nini

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 6:27 PM