Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Polis memantau rapi kegiatan pertaruhan membabitkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) menjelang hari pengundian di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin mengakui kewujudan aktiviti seumpama itu bagaimanapun setakat ini ia dikesan berlaku secara kecil-kecilan dan tidak membabitkan sindiket atau kumpulan tertentu.

"Secara sikit-sikit ada, setakat main sesama sendiri maksudnya bertaruh siapa menang siapa kalah, berapa kerusi akan menang dan berapa kerusi kalah.

"Tetapi untuk menyatakan ada sindiket yang mempengaruhi perjalanan pilihan raya di Pulau Pinang, memang tiada dan tidak ada tangkapan dibuat setakat ini.

"Jadi kita sedang pantau dan akan buat tangkapan sekiranya berlaku (kegiatan perjudian)," katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom.

Dalam pada itu, Kok Chin memaklumkan bermula hari penamaan calon sehingga malam tadi, tiada sebarang insiden yang boleh mendatangkan kegusaran awam dilaporkan berlaku di negeri ini.

Menurutnya, dua kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dijangka menjadi kawasan panas sebelum ini iaitu Permatang Pasir di Permatang Pauh dan Bayan Lepas turut berada dalam keadaan terkawal dengan proses kempen berjalan lancar.

"Jadi tiada keperluan untuk kita tambah anggota di kawasan tersebut dan kita kekalkan seperti sedia ada dengan kawasan itu masih di bawah kawalan tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku," katanya.

Katanya, kebanyakan kes membabitkan PRN yang dilaporkan ketika ini lebih cenderung kepada perbuatan berunsur khianat seperti merosakkan bendera dan kain rentang parti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 12:17 PM