ANTHONY Loke. FOTO Arkib NSTP.
ANTHONY Loke. FOTO Arkib NSTP.
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan sedang menyiasat dan berunding dengan pelbagai pihak berhubung isu pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL) terhadap pelawat China dikenali sebagai Wang Xu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 30 Jun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia berikutan pihak menguruskan NTL itu adalah syarikat swasta yang dilantik Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) sejak 2015 dan bukannya oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

"Wakil dari Kementerian (Pengangkutan) dan MAHB sudah mengadakan perbincangan dengan AOC serta syarikat dilantik.

"Ia bagi memperoleh maklumat daripada AOC KLIA mengenai tempoh kontrak dan terma yang dipersetujui.

"Tindakan hanya diambil selepas kita memperoleh supaya perincian," katanya kepada media selepas merasmikan program Nature Positive Infrastructure di sebuah hotel di sini, hari ini.

Loke juga menjelaskan, berikutan pihak terbabit adalah syarikat swasta, Kementerian Pengangkutan tidak boleh mengambil tindakan terhadapnya memandangkan syarikat lantikannya.

"Syarikat terbabit bukan dilantik kita. Jadi, kita tidak boleh menghalang mereka kerana AOC yang melantiknya.

"Jadi kita perlu mendapatkan maklumat lebih terperinci. Syarikat itu tidak beroperasi secara haram," katanya.

Beliau berkata, syarikat terbabit mempunyai perjanjian dengan operator penerbangan dan mendapat kelulusan imigresen sejak 2015.

"Kita mahu meneliti kaedah prosedur operasi standard (SOP) dan amalan mereka berbanding operasi lapangan terbang lain seperti di KLIA2 yang dikendali sendiri Jabatan Imigresen (JIM) kerana hanya KLIA mempunyai syarikat swasta ini," katanya.

Katanya, mesyuarat jemaah menteri ada berbincang mengenai isu bagaimana imigresen dan lapangan terbang menguruskan NTL.

"NTL dikeluarkan ke atas penumpang atas pelbagai sebab antaranya ada rekod senarai hitam atau mereka tidak dapat membuktikan tujuan kedatangan seperti visa, tiket penerbangan pergi dan balik, hotel penginapan yang menjadi syarat imigresen di mana-mana negara.

"Jadi, pegawai (imigresen) ada hak menapis, menanyakan soalan dan jika dapat dijawab maka seseorang itu jika disyaki masuk untuk bekerja tanpa permit dan sebagainya, mereka boleh dilarang masuk.

"Jadi NTL ini bukan saja ada di KLIA dan setiap lapangan terbang. Pelawat yang ditahan ditempatkan di kawasan NTL iaitu kawasan tahanan sementara dan ia bukan lokap, ada kemudahan sofa, makanan dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, MAHB dalam kenyataannya menjelaskan pelancong yang tiba ke negara ini diberikan NTL atas pelbagai sebab.

Kenyataan itu memaklumkan, antara faktor penolakan itu di atas sebab ketulenan pasport, isu visa, sejarah jenayah dan kebimbangan mengenai isu keselamatan.

Ia terletak di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan masing-masing dan Jabatan Imigresen seperti dinyatakan di bawah Lampiran 9 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan Akta Imigresen (Akta 155).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 11:51 AM