SAIFUDDIN Nasution Ismail bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi (kanan) pada sidang media di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SAIFUDDIN Nasution Ismail bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi (kanan) pada sidang media di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kuasa untuk memutuskan pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL) kepada pengembara akan diberikan kepada pegawai pengurusan profesional Gred KP 41 ke atas berbanding KP 29 ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia sebahagian langkah memperbaiki pengurusan Jabatan Imigresen (JIM) di pintu masuk negara.

"JIM adalah pihak berkuasa yang akan membuat keputusan berkait NTL

yang mana bergantung pertimbangan kepada tiga soalan asas kepada pengembara yang tiba iaitu di mana tempat tinggal, adakah mempunyai dana yang cukup dan ada tak tiket pulang.

"Sebagai langkah penambahbaikan, JIM pada kadar segera akan beri autoriti untuk memutuskan NTL kepada pegawai pengurusan profesional bergred 41 ke atas," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat Kabinet hari ini turut meminta Kementerian Pengangkutan melihat aspek dan amalan melantik satu syarikat yang menguruskan pengembara luar yang menerima NTL.

"Dalam mesyuarat Jemaah Menteri turut bincangkan apabila pengembara dikenakan NTL, mereka diuruskan satu syarikat yang namanya Mono Circle Sdn Bhd, yang dilantik syarikat operator penerbangan sejak Februari 2015.

"Jadi syarikat ini yang menguruskan pembelian tiket pulang dan makan minum pengembara terbabit.

"Jemaah Menteri juga minta Menteri Pengangkutan melihat semula aspek ini, apakah ini amalan biasa atau bagaimana.

"Kadang-kadang dekat sini yang menimbulkan kekeliruan kerana apabila seorang dikenakan NTL diminta untuk menyediakan sejumlah wang untuk beli tiket pulang, kadang-kadang disalah anggap sebagai pegawai imigresen yang minta duit.

"Jadi itu perkara yang kita kena teliti semula," katanya.

Beliau berkata, sejumlah 592,490 pelancong China tiba ke negara ini sepanjang Januari hingga Jun tahun ini dan daripada jumlah itu 423 diberikan NTL.

Saifuddin Nasution berkata, dalam meningkatkan lagi perkhidmatan imigresen di pintu masuk negara, lebih banyak kaunter bantuan yang menempatkan pegawai berkomunikasi dalam pelbagai bahasa terutama Mandarin akan dibuka.

"Kita juga akan bekerjasama dengan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) untuk menambah papan tanda informasi kepada pengembara yang tiba termasuk untuk pergi ke kaunter bantuan terbabit," katanya.

Beliau turut memaklumkan Jemaah Menteri memperakui sebahagian besar kakitangan Imigresen memberi komitmen tinggi, kerjasama dan disiplin yang baik.

"Jemaah Menteri juga ambil maklum wujud perkara yang perlu diberi perhatian terutamanya terkait tata kelola dan insiden di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini termasuk, dakwaan ada amalan tak baik berlaku," katanya.

Hari ini, media tempatan melaporkan terdapat ejen yang meminta sehingga RM18,000 untuk menyelesaikan kemasukan pelancong asing yang tidak memenuhi syarat kemasukan ketika tiba di KLIA.

Penemuan itu dikesan SPRM dalam siasatan awal berhubung insiden kekecohan di balai ketibaan KLIA membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan beberapa pegawai imigresen, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 6:06 PM