ANTHONY Loke. FOTO Aswadi Alias.
ANTHONY Loke. FOTO Aswadi Alias.

Kuala Lumpur: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, semua jemaah menteri mempunyai pas khas VIP untuk memasuki kawasan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, dengan pas itu jemaah menteri termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing boleh memasuki setiap ruang di KLIA.

"Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sudah memberi laporan kepada saya semalam (Jumaat) dan semasa YB Tiong berada di KLIA, memang diiringi polis bantuan dan anggota keselamatan MAHB.

"Dari segi isu pas keselamatan, itu tak jadi isu... sebenarnya setiap menteri ada pas VIP untuk masuk ke lapangan terbang walaupun kadangkala kita bukan mengambil penerbangan.

"Semalam (Jumaat) pun saya berada di lapangan terbang, bukan saya mengambil penerbangan, tetapi saya lancarkan satu penerbangan, jadi saya masuk ke kawasan larangan seperti balai berlepas dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa DAP negeri di ibu pejabat parti itu di Seremban hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 12:11 AM