AZAM pada sidang media selepas Penutup Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM 2023. FOTO Bernama
AZAM pada sidang media selepas Penutup Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM 2023. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Putrajaya: Ejen yang mendakwa mampu menyelesaikan kes pelancong asing dihalang kemasukan ke negara ini dengan tawaran RM18,000 disyaki berkhidmat dengan sebuah syarikat swasta beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mendapati syarikat berkenaan dilantik bagi menguruskan pelancong asing yang dikenakan arahan Notis Penolakan Masuk (NTL).

Menurutnya, syarikat berkenaan sudah beroperasi sejak 2017 secara kontrak untuk menguruskan NTL termasuk makan minum dan tiket penerbangan pulang ke negara asal.

"Pada hari kejadian (kekecohan) sebenarnya terdapat 41 orang yang dikenakan NTL termasuklah dua wanita warga China yang dipanggil sebagai saksi.

"Ketika ini, SPRM sedang menyiasat sama ada syarikat itu sah atau tidak sah. Jika ia sah bermakna, syarikat berkenaan beroperasi dengan prosedur yang betul namun jika sebaliknya, sudah tentu ia mempunyai rasuah," katanya dalam sidang media selepas Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM di sini, hari ini.

Terdahulu, SPRM mengesahkan terdapat ejen yang meminta sehingga RM18,000 untuk menyelesaikan kemasukan pelancong asing yang tidak memenuhi syarat di KLIA.

Penemuan itu dikesan SPRM dalam siasatan awal berhubung kekecohan di balai ketibaan KLIA membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan pegawai Imigresen.

Mengulas mengenai kebocoran maklumat termasuk nombor telefon wanita China itu, Azam berkata, ia diperolehi melalui syarikat berkenaan.

"Sangat jelas maklumat itu diperoleh daripada syarikat berkenaan kerana sesiapa yang ditahan, syarikat itu akan beri nombor telefon kepada pihak lain untuk tujuan urusan pembelian tiket dan sebagainya," katanya.

Selain itu, ditanya sama ada syarikat itu dilantik oleh Jabatan Imigresen bagi menguruskan kes NTL, Azam berkata, ia di bawah bidang kuasa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

"Imigresen bukan satu jabatan yang bertanggungjawab membuat lantikan. KLIA di bawah MAHB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 6:55 PM