ORANG ramai beratur untuk membuat pemeriksaan masuk di kaunter sebelum menaiki pesawat ke destinasi masing-masing di klia2, Meil lalu. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ORANG ramai beratur untuk membuat pemeriksaan masuk di kaunter sebelum menaiki pesawat ke destinasi masing-masing di klia2, Meil lalu. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Raja Noraina Raja Rahim


ISU kesesakan di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) akan ditangani oleh jawatankuasa khas membabitkan pelbagai agensi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas itu yang terdiri daripada Kementerian Pengangkutan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan sebagainya.

“Penubuhan itu dibuat bagi menyeleras kerja di lapangan terbang. jawatankuasa terbabit akan membincangkan dan menyelesaikan pelbagai isu atau masalah yang timbul.

“Kita (Kementerian Pengangkutan) hanya mengawal selia lapangan terbang. Namun di dalam lapangan terbang itu ada agensi lain seperti kastam, imigresen dan ini memerlukan kerjasama baik semua pihak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Pendidikan Pengangkutan 2019 di Seremban, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan AirAsia terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menangani masalah kesesakan kaunter imigresen di klia2.

Menurut AirAsia, kesesakan disebabkan oleh barisan yang panjang di kaunter imigresen bagi pasport asing di klia2 berlaku setiap hari, dan masalah itu perlu ditangani segera sebagai persediaan menerima kedatangan lebih 30 juta pelancong pada Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Mengulas lanjut, Loke berkata, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan VM2020 berjalan lancar dan berupaya memberikan perkhidmatan terbaik.

“Kita menjangkakan lebih ramai (pelancong) akan datang dan sudah tentu laluan masuk paling penting adalah lapangan terbang. Oleh itu, syarikat penerbangan perlu bersiap sedia.

“Begitu juga dengan pengangkutan lain seperti bas, teksi dan e-hailing yang akan turut menerima tempias serta manfaat. Disebabkan itu semua perlu bersedia untuk menerima lebih ramai pengunjung sekaligus menambah pendapatan mereka,” katanya.

LOKE beramah mesra bersama pengunjung Majlis Perasmian Karnival Kerjaya dan Pendidikan Pengangkutan 2019. FOTO Iqmal Haqim Rosman
LOKE beramah mesra bersama pengunjung Majlis Perasmian Karnival Kerjaya dan Pendidikan Pengangkutan 2019. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, kerajaan akan meneruskan pemberian insentif dan subsidi kepada sektor pengangkutan luar bandar bagi memastikan perkhidmatan itu dapat diteruskan.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM200 juta setahun untuk perkhidmatan udara di Sabah dan Sarawak supaya dapat terus menghubungkan kawasan pedalaman ke kawasan bandar.

Di Pantai Timur pula, katanya, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk perkhidmatan kereta api walaupun ia tidak memberi pulangan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 10:08 PM