ANNUAR berucap pada Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat Pakat Pertahan 'Pas Pilihanku' di dataran Warisan Stadium Sultan Muhammas IV. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANNUAR berucap pada Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat Pakat Pertahan 'Pas Pilihanku' di dataran Warisan Stadium Sultan Muhammas IV. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Pasir Puteh: Tan Sri Annuar Musa mengaku beliau menentang tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu berkata, ini berikutan kepimpinan Umno itu didakwa memecahkan-belahkan kerjasama antara Pas dengan Umno menerusi MN semata-mata mahu membuat jajaran politik yang baru.

Katanya, pada awal kerjasama antara Umno, Pas dan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau dihantar oleh Umno untuk membuat rundingan dengan pemimpin kedua-dua parti itu.

"Namun di belakang, saya digelar sebagai ejen Bersatu dan pro PAS. Sebaliknya, saya dihantar oleh Presiden Umno untuk membuat rundingan.

"Menteri Umno yang berjasa memberi kemudahan kepada rakan-rakan dalam Umno termasuk saya 'dipotong' (bertanding Pilihan Raya Umum ke-15).

"Pada saya ini untuk kepentingan peribadi. Saya mengaku saya menentang (Presiden Umno)," katanya ketika berucap di Jelajah Ceramah Pakat Pertahan Parlimen Pasir Puteh di Dewan Saripudin Maahad Saniah di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Nor.

Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau kini berasa tenang menjadi ahli biasa Pas dan tiada jawatan dalam parti serta kerajaan.

"Selama 50 tahun saya adalah orang kerajaan dan sertai empat kementerian dengan lima Perdana Menteri. Saya berfikir panjang nak duduk sebelah lawan kerajaan.

"Saya sudah ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MN, namun perlu juga platform politik yang selari dengan pemikiran. Parti yang istiqamah bela Islam dan parti yang jujur membela agama serta ikhlas dengan orang Melayu dan parti yang ada rekod bersih. Maka, saya tidak teragak-agak dan reda untuk jadi ahli Pas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 2:07 PM