DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman (dua kiri) disambut Wanita UMNO pada Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Salak 2020 di Dewan Besar Pekan Baru, Chenderong Balai, Pasir Salak. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman (dua kiri) disambut Wanita UMNO pada Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Salak 2020 di Dewan Besar Pekan Baru, Chenderong Balai, Pasir Salak. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Pasir Salak: Umno hanya akan bekerjasama dengan Pas tanpa membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pendirian itu selaras kerjasama politik antara parti itu dengan Pas sejak 2018 sebelum menandatangani piagam Muafakat Nasional pada 2019.

Menurutnya, melalui piagam itu, mereka sudah berjanji untuk mengadakan kerjasama politik termasuk tidak akan bertembung dalam PRU-15.

"Dia (Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah) nak berkerjasama dengan Bersatu terpulanglah kepada dia dan Umno tidak akan berkerjasama dengan parti itu dalam pilihan raya akan datang.

"Berdasarkan tinjauan lebih 140 atau dua per tiga ketua bahagian Umno di seluruh negara turut menyatakan pendirian sama.

"Jadi kita mendengar kepada akar umbi, takkan kita mahu dengar cakap Amar tetapi kita hormat kenyataan beliau," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pasir Salak 2020 di Dewan Besar Pekan Baru, Chenderong Balai, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mohd Amar bahawa PAS, Bersatu dan BN tidak mampu menghadapi pilihan raya bersendirian dan ketiga-tiga parti melalui Perikatan Nasional (PN) perlu bekerjasama dalam PRU-15.

Bagaimanapun Tajuddin berkata, dia berharap pemimpin Pas berpegang kepada janji supaya gerak kerja menghadapi PRU-15 berjalan lancar dan percaya kerjasama antara mereka akan menghasilkan kemenangan besar.

"Janji mesti ditunaikan dan mereka menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu tanpa tanpa Umno sedangkan kita sudah bersama dalam MN, jadi carilah jalan keluar.

"Kerajaan (dibentuk) dahulu kita bersetuju bukan kerjasama politik (sebaliknya) ahli dewan saja (antara) wakil rakyat dengan wakil rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 1:23 PM