ANNUAR. FOTO arkib NSTP
ANNUAR. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) akan bermesyuarat Isnin ini antaranya berkaitan rundingan antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata, wakil kedua-dua parti sudah pun memulakan rundingan mengenai kerjasama itu.

"Saya gembira mendapat tahu wakil Umno dan Bersatu sudah pun memulakan rundingan. Begitu juga dengan Pas.

"Insya-Allah Isnin ini MN bermesyuarat, semuanya dalam suasana 'anak beranak'.

"Kita doakan segalanya dipermudahkan Allah SWT," katanya menerusi Twitter.

Sebelum ini Umno mempertimbangkan menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan memberi syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi parti yang dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang antara lain akan memberi syarat baharu kepada PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 1:03 PM