ANTARA pistol, pisau dan senjata lain yang ditemui ketika pemeriksaan ke atas rumah suspek di Kampung Cheras Baru, semalam. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA pistol, pisau dan senjata lain yang ditemui ketika pemeriksaan ke atas rumah suspek di Kampung Cheras Baru, semalam. FOTO Ihsan Polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Seorang lelaki diburu kerana dakwaan membelasah teman wanitanya, namun lain yang ditemui polis apabila memeriksa kediamannya di Kampung Cheras Baru di sini, semalam.

Ketika penahanannya pada 8.10 malam itu, polis menemui 15 pistol dan senapang angin serta lain-lain perkakas di dalam kediaman berkenaan.

Malah senjata itu dipercayai dibeli melalui platform e-dagang didakwanya sebagai hobi untuk memburu tupai dan burung.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan mangsa berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pembantu penjaja mi, mendakwa dipukul dengan topi keledar di muka dan kepala.

Katanya, kejadian berlaku pada 1.50 pagi kelmarin ketika wanita itu ke rumah suspek yang berusia 45 tahun untuk meminta penjelasan kekasihnya berhubung gambar dengan wanita lain yang tersebar di Facebook.

"Ketika sedang berbincang, lelaki itu terus mengambil topi keledar dan memukul mangsa di muka dan kepala. Mangsa menangis dan pergi ke tokong sebelah rumah untuk mengelak dipukul lagi.

"Tidak lama selepas itu, suspek bertindak membaling kerusi kayu ke arah mangsa dan mengambil kayu dari kerusi yang patah serta mencekik lehernya sehingga wanita itu sesak nafas.

"Mangsa yang ketakutan kemudian beredar dan membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan selanjutnya," katanya hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan laporan itu sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ampang Jaya menahan suspek di hadapan rumahnya.

"Suspek berniaga di hadapan rumahnya dan kita turut merampas tiga kayu yang digunakan memukul mangsa.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah, menemui 15 pucuk pistol pelbagai jenis, selaras senapang angin berserta teropong, selaras senapang menyerupai senjata panah, dua kelopak, sebilah pisau, lima bilah parang, lima tong gas, lima tong gas kecil (isian dalam pistol), sekotak hitam berisi anak panah, empat bekas tin berisi bearing besi dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kesalahan jenayah dan ujian saringan air kencing negatif dadah.

"Suspek mengaku memiliki dan menyimpan semua senjata yang dirampas untuk koleksi dan hobinya mengumpul senjata-senjata itu," katanya.

Katanya, motif mencederakan teman wanitanya pula kerana berang dituduh curang dan mempunyai teman wanita lain.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 7:22 PM