GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Wanita orang kurang upaya (OKU) masalah saraf menjadi mangsa dera apabila dipukul dengan batang penyapu, penyangkut baju dan batang mop di rumah keluarganya di Lembah Jaya Selatan, Taman Sri Intan Ampang, di sini.

Kejadian menimpa mangsa terbongkar selepas polis menahan bapa wanita berkenaan berusia 60 tahun dan teman wanita bapanya berusia 47 tahun, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada 12 tengah hari, pegawai perubatan Hospital Ampang menerima seorang pesakit wanita OKU berusia 31 tahun yang dibawa oleh ambulans dari tempat kejadian.

Menurutnya, hasil rawatan mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan seperti lebam di bahagian mata kanan disyaki dipukul serta ditumbuk.

"Susulan itu, pada 8.30 malam tadi, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan lelaki berkenaan yang bekerja sebagai buruh bersama teman wanitanya yang tidak bekerja.

"Beberapa objek seperti kayu penyapu, penyangkut baju dan kayu mop disyaki digunakan untuk mendera mangsa turut dirampas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif.

"Kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 24 Ogos ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 12:25 PM