GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Ampang: Lima lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memecah masuk sebuah rumah kedai dan mencuri dompet serta topi keledar di Jalan Mewah 3, Taman Ampang Mewah, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian 4.30 pagi itu, kesemua suspek dipercayai mabuk memecah masuk rumah sewa milik seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.

Menurutnya, mangsa yang ketika itu tiada di rumah dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh teman wanitanya sebelum dia bergegas pulang ke rumah.

"Mangsa balik ke rumah dan mendapati pintu rumah sudah rosak dan terbuka lalu masuk ke dalam dan melihat lima lelaki tempatan yang tidak dikenali bersama dua lelaki Myanmar.

"Lima suspek tempatan terbabit sedang memukul dua lelaki Myanmar berkenaan di ruang tamu rumah sewa milik mangsa dan mencuri dompet berisi RM400 tunai dan topi keledar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, lima lelaki tempatan itu kemudian beredar sambil membawa dua lelaki Myanmar yang dipukul berkenaan.

Katanya, bertindak atas maklumat pihaknya memberkas lima lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 26 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, 10.05 pagi hari kejadian.

"Siasatan mendapati, semasa kejadian suspek dalam keadaan mabuk memukul dua lelaki Myanmar tidak dikenali, mereka juga dalam keadaan mabuk ketika di bawah rumah kedai.

"Suspek membawa lelaki Myanmar berkenaan naik ke tingkat atas dan memecah masuk ke dalam rumah mangsa dengan alasan penghuni rumah berkenaan mencampakkan pasir dari tingkat atas," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan kesalahan narkotik manakala seorang daripada mereka tiada rekod lampau.

"Polis juga merampas sebuah kereta, dua topi keledar, sebatang kunci kereta dan sebatan paip PVC.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 16 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 11:56 AM