LELAKI yang mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging ditahan di sebuah kawasan apartment di Taman Lembah Maju, Ampang Jaya. FOTO Ihsan PDRM.
LELAKI yang mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging ditahan di sebuah kawasan apartment di Taman Lembah Maju, Ampang Jaya. FOTO Ihsan PDRM.
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Tukang gunting rambut yang mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging ditahan polis di sebuah kawasan pangsapuri di Taman Lembah Maju di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 10.51 pagi, polis menerima panggilan daripada orang awam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 45 tahun terbabit mengamuk sambil menggunakan senjata tajam.

"Anggota berjaya menahan suspek dan merampas satu pisau pemotong daging berukuran 30 sentimeter dan hulu kayu dengan lilitan tali.

"Suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan polis akan menjalankan ujian saringan air kencing untuk mengenalpasti sama ada suspek di bawah pengaruh dadah atau sebaliknya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan semakan awal mendapati suspek adalah pemegang kad pesakit mental (PSY) dan sedang menjalani rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 kanun sama.

Berdasarkan dua rakaman video berdurasi 15 saat dan sembilan saat menunjukkan lelaki memakai topi keledar mengamuk dan menjerit ke arah anggota polis sambil memegang pisau.

Suspek kemudian dilihat membuka topi keledar lalu mencampaknya ke jalan dan terus mengekori anggota polis yang dipercayai cuba menenangkan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 8:31 PM