GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita selepas dipercayai terbabit dalam kejadian samun di sebuah farmasi di Pandan Indah, di sini, pada 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu yang berlaku jam 12.40 tengah malam.

"Pengadu mendengar bunyi bising dan keluar dari pejabat. Dia kemudian mendapati dua lelaki memakai topi keledar menyamun barang kemas milik dua pekerja dan wang tunai syarikat.

"Menyedari kehadiran pengadu, suspek melarikan diri menggunakan sebuah motosikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, antara barang yang disamun ialah wang tunai berjumlah RM2,200, dua utas gelang emas dan sebentuk cincin emas.

"Susulan laporan itu, polis membuat beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang pada Selasa lalu hingga semalam.

"Seramai enam suspek terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, peniaga emas serta penganggur ditahan," katanya.

Beliau berkata, antara barang yang dirampas ialah telefon bimbit, empat motosikal dan sebuah kereta selain wang tunai serta dua gelang emas dipercayai milik mangsa.

"Semua suspek direman antara empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 8:10 PM