Muhammad Apendy Issahak


KEDAI pengurup wang di Jalan Mustafa Al Bakri, Ipoh disamun dan wang tunai pelbagai mata wang bernilai kira-kira RM2 juta dilarikan, hari ini.

Dalam kejadian 6.40 petang itu tiga lelaki yang memakai topi keledar dan bertopeng serta bersenjatakan pistol mainan memasuki premis terbabit sebelum mengugut lima pekerja termasuk seorang pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pistol mainan yang dipercayai digunakan suspek turut dijumpai di tepi longkang berhampiran lokasi kejadian.

"Masa kejadian tiga lelaki bertopeng dan pakai topi keledar serta bersenjatakan pistol masuk ke dalam kedai pengurup wang terbabit.

"Terdapat lima pekerja di premis terbabit termasuk seorang pengawal bersenjatakan senapang patah dan suspek kemudian merampas senapang pengawal berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, selepas merampas senjata berkenaan suspek mengarahkan pekerja membuka peti besi dan melarikan wang tunai pelbagai mata wang.

"Kejadian berlaku dalam tempoh enam hingga tujuh minit sahaja dan kesemua suspek kemudian dilihat melarikan diri dengan Toyota Hilux.

"Suspek turut membuang pistol mainan di tepi longkang berhampiran lokasi kejadian dan membawa lari bersama senapang patah yang dirampas," katanya.

Chang Keong berkata, pekerja tidak dicederakan dan tiada pelanggan ketika kejadian berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 11:03 PM
ANGGOTA forensik menjalankan siasatan di kedai pengurup wang yang disamun. FOTO Muhaizan Yahya
ANGGOTA forensik menjalankan siasatan di kedai pengurup wang yang disamun. FOTO Muhaizan Yahya