Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Subang Jaya: Polis menahan tiga penganggur yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi dua serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Bukit Puchong di sini, pada 16 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, serbuan pertama dilakukan pada 1.50 tengah hari yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 50-an di hadapan lif pangsapuri berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dalam beg suspek menemui tiga bungkusan mengandungi dadah disyaki syabu dianggarkan seberat 3.134 kilogram (kg).

"Susulan penahanan itu, kami menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di aras tujuh pangsapuri berkenaan dan menemui 840 paket plastik biru mengandungi pil yaba dianggarkan seberat 18.667 kg.

"Kami juga menemui 475 aluminium foil berisi pil Erimin 5 seberat 1,344 gram, satu bungkusan plastik lut sinar mengandungi pil ekstasi seberat 374 gram dan 26 bungkusan plastik berisi dadah disyaki syabu seberat 26.986 kg," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, hasil soal siasat dijalankan terhadap suspek, polis menjalankan pemeriksaan di sebuah lagi rumah di aras 13 di pangsapuri berkenaan.

"Kami merampas lapan plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ketamin seberat 5.990 kg, 25 aluminium foil mengandungi pil Erimin 5 seberat 71 gram dan satu paket plastik lut sinar berisi serbuk disyaki dadah jenis syabu seberat 18 gram.

"Dalam serbuan berasingan pada 2 petang hari yang sama, kami menahan dua lelaki masing-masing berusia 50-an dan 30-an di sebuah rumah di pangsapuri yang sama.

"Menerusi serbuan itu, polis menemui lima paket plastik lut sinar berisi ketulan disyaki dadah jenis syabu seberat 30.64 gram, satu balutan foil mampat berisi dadah disyaki ganja seberat 24.51 gram dan dua paket plastik lut sinar berisi 82 pil disyaki dadah jenis yaba seberat 23.53 gram," katanya.

Beliau berkata, hasil kedua-dua serbuan itu, pihaknya turut menyita empat kereta, wang tunai berjumlah RM5,550 dan seuntas rantai leher.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam dua serbuan itu adalah sebanyak RM2.4 juta, manakala nilai harta sitaan berjumlah RM375,550.

"Hasil maklumat risikan dilakukan mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini.

"Keseluruhan dadah yang dirampas dalam serbuan ini boleh digunakan seramai 272,633 penagih," katanya.

Menurutnya, semakan dilakukan mendapati tiga suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methaphetamine.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 17 Mei lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(2) akta sama.

"Orang ramai dinasihatkan supaya jangan terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

"Maklumat berkaitan dadah di daerah ini boleh disalurkan kepada pihak polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang di talian 03-78627100 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 3:26 PM