ANTARA individu yang ditahan polis kerana menyertai pesta liar awal pagi tadi. FOTO ihsan polis
ANTARA individu yang ditahan polis kerana menyertai pesta liar awal pagi tadi. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 20 individu ditahan kerana menyertai pesta liar dalam dua serbuan berasingan di sebuah kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menyerbu unit kondominium berkenaan hasil maklumat awam.

"Dalam serbuan pertama, seramai enam individu termasuk seorang wanita berusia 21 hingga 27 tahun ditahan ketika sedang berpesta.

"Hasil pemeriksaan di unit terbabit menemui satu bungkusan mengandungi daun-daun kering disyaki dadah ganja seberat 2.05 gram, dua bungkusan mengandungi pil erimin 5," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, turut ditemui serbuk putih disyaki ketamin seberat satu gram, satu botol plastik disyaki alat untuk menghisap ganja dan satu paket plastik lut sinar berisi sebiji pil ecstasy yang sudah pecah.

"Hasil saringan mendapati seramai empat lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

"Semua individu ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Menurutnya, di kondominium sama, pihaknya menyerbu satu lagi unit kediaman yang mengadakan pesta liar.

"Seramai 14 lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 27 tahun ditahan. Hasil saringan mendapati seramai 13 lelaki positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan tetrahydrocannabinol, amphetamine.

"Semua individu yang ditahan dibenarkan reman selama sehari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) ABD 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 5:23 PM