PIL Eramin 5 dan ketamin yang dirampas. FOTO ihsan Polis
PIL Eramin 5 dan ketamin yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Yahya Awang


Taiping: Polis menahan lelaki dan merampas 1,130 biji pil Eramin 5 seberat 315.8 gram dan dadah jenis ketamin seberat 32 gram di bilik hotel di Jalan Kota, di sini, semalam.

Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berjaya menahan lelaki berusia 23 tahun yang juga peniaga di dalam bilik di hotel berkenaan dalam serbuan 4.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas suspek menemui satu foil aluminium berisi 10 biji pil disyaki Eramin 5 dari poket seluar suspek.

Katanya, pemeriksaan di dalam bilik itu kemudiannya menemui satu beg kertas mengandungi 112 foil aluminium berisi 1,120 biji pil yang sama dan satu paket lutsinar mengandungi 40 paket plastik setiap satu berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin.

"Selain menahan suspek dan merampas pil dan dadah berkenaan, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,020, motosikal dan kereta yang dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan itu.

"Bagi rampasan Pil Eramin 5, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala bagi rampasan Ketamin pula, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 10:33 AM