Mohd Amin Jalil


Rembau: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) menafikan pandangan sesetengah pihak bahawa tindakan menyantuni pelajar di universiti menerusi program Jelajah Ikon Madani bertujuan politik.

Ketua Pengarah J-KOM, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusof berkata, pandangan itu tidak betul sebaliknya ia adalah untuk menjelaskan dasar kerajaan dan konsep Malaysia Madani cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Hasrat kami memasuki UiTM atau universiti menyantuni pelajar bukan untuk kepentingan politik atau berkempen supaya menyokong parti A atau parti B, J-KOM tahu batas-batas yang boleh dimainkan, kecuali untuk mempertahankan dasar kerajaan.

"J-KOM menjadi komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat termasuk mahasiswa dengan penyaluran maklumat yang tepat, sahih serta bijaksana dan kami harus memainkan peranan ini dengan proaktif.

"Tambahan pula, hari ini ada pihak mengatakan J-KOM terlalu lembab dalam menyampaikan idea dan gagasan besar Perdana Menteri, kita akui jadi J-KOM perlu memulakan langkah ini dan bertindak agresif," katanya selepas merasmikan Townhall Madani dan Jelajah Ikon Madani di Dewan Biduanda, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Rektor UiTM Kampus Rembau, Prof Dr Yamin Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin), Datuk Mohd Aizuddin Ghazali dan Ikon Madani, Datuk Aznil Nawawi.

UiTM Kampus Rembau adalah lokasi pertama Jelajah Ikon Madani yang dihadiri kira-kira 1,000 pelajar mewakili beberapa universiti dan IPT sekitar negeri ini.

Mohammad Agus berkata, J-KOM tidak akan mengambil alih atau memainkan tugas penerangan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau berkata, jabatan diterajuinya itu ada fungsi dan skop tersendiri, namun saling bekerjasama dengan Jabatan Penerangan dan Jabatan Media Pejabat Perdana Menteri (PMO).

"Tiada pertindihan tugas antara satu sama lain, tetapi antara kami saling melengkapi. Walaupun pergerakan kami (J-KOM) dilihat perlahan berbanding agensi lain, tapi akan bergerak lebih laju selepas ini kerana baru tiga bulan.

"Ini Jelajah Ikon Madani pertama dan kita ada lima lagi program sama selepas ini. Kita akan perbaiki segala kelemahan ke arah yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Agus berkata, pihaknya akan mengetengahkan beberapa tokoh berbeza sebagai ikon dalam jelajah akan datang termasuk dalam bidang sukan, usahawan, akademik dan politik serta lain-lain yang dilihat bersesuaian.

"Semua tokoh-tokoh ini nanti adalah orang hebat dan banyak jasa sewajarnya mereka ini ditonjolkan sebagai motivasi dan merangsang kepada anak muda untuk berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 6:03 PM
MOHAMMAD Agus selepas merasmikan Townhall Madani dan Jelajah Ikon Madani di Dewan Biduanda, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau. FOTO Mohd Amin Jalil
MOHAMMAD Agus selepas merasmikan Townhall Madani dan Jelajah Ikon Madani di Dewan Biduanda, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau. FOTO Mohd Amin Jalil