MOHAMMAD Agus merasmikan Jelajah Ikon Madani di UMT. FOTO Baharom Bakar
MOHAMMAD Agus merasmikan Jelajah Ikon Madani di UMT. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Nerus: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kuasa untuk meluluskan peruntukan kepada negeri yang dilawati termasuk negeri dikuasai pembangkang.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, peruntukan diluluskan berbeza tetapi pengumuman itu dibuat berdasarkan keperluan setiap negeri.

Katanya, Anwar yang juga Menteri Kewangan tidak menggunakan kuasa eksekutifnya untuk meluluskan peruntukan sebaliknya selepas dibincang pada mesyuarat Kabinet selain mendapat kelulusan bajet.

"Peruntukan diluluskan Perdana Menteri bukannya berunsur rasuah politik, sebaliknya untuk kesejahteraan rakyat dan meningkatkan ekonomi negeri, termasuk negeri dikuasai pembangkang," katanya kepada media selepas merasmikan Jelajah Ikon Madani di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.

Kira-kira 2,000 penuntut daripada beberapa universiti awam menyertai program jelajah Ikon Madani dihoskan pengacara terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi.

Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof Madya Datuk Mazlan Abd Ghani dan Ketua Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin), Datuk Mohd Aizuddin Ghazali.

Mengulas dakwaan peruntukan diluluskan itu amalan rasuah terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Mohammad Agus berkata, persepsi itu tidak tepat dan tiada kaitan dengan isu PRN.

"Kita tidak faham mengapa persepsi itu ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab sedangkan peruntukan diumumkan Anwar ketika mengadakan lawatan ke beberapa negeri bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat dan meningkatkan pembangunan negeri.

"Kita tidak faham adakah peruntukan kepada negeri yang dilawatinya bertujuan memenuhi keperluan rakyat itu berbentuk rasuah?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 4:07 PM