DR Mohammad Agus pada sidang media malam tadi. FOTO Bernama.
DR Mohammad Agus pada sidang media malam tadi. FOTO Bernama.
Raja Noraina Raja Rahim


Bangi: Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff tidak menolak kemungkinan penyebaran video kononnya perbualan lucah yang dikaitkan dengan dirinya dibuat bagi menjatuhkan reputasi beliau.

Ini kerana katanya, beliau pernah diarah meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) oleh pihak yang dipercayai tidak berpuas hati dengan prestasinya sepanjang mengemudi jabatan kerajaan berkenaan.

Menurutnya, sejak memulakan tugas pada Februari lalu pelbagai perubahan cuba dilaksana dan mengakui ada pihak yang menerima tindakan itu, malah ada juga segelintir pihak yang tidak dapat menerimanya.

"Ia lebih jelas selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini apabila ada rakan menunjukkan kekecewaan mengenai peranan J-KOM pada tempoh itu. Pelbagai kemarahan dilemparkan kepada saya, tapi saya diam biarpun saya ada alasan untuk memberitahu kekangan dihadapi di J-KOM.

"Saya bercita-cita mencari pekerjaan baharu, malah ada tawaran diterima dan saya fikir mahu berhenti secara baik.

"Tapi pada 13 November lalu, saya dipanggil bertemu seseorang dan dalam pertemuan itu, saya ditunjukkan video perbualan lucah saya bersama Wahab. Saya diberi dua pilihan sama ada letak jawatan atau cuti rehat sehingga tempoh tamat," katanya dalam sidang media di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Agus berkata, beliau membuat pilihan untuk berhenti memandangkan sudah merancang berbuat demikian tanpa menjelaskan perkara sebenar mengenai video terbabit.

Terdahulu, media melaporkan Dr Mohammad Agus sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau dilapor berkata, keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak.

Turut mengesahkan peletakan jawatan Dr Mohammad Agus adalah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 11:33 PM