DATUK Dr Mohammad Agus Yusoff (kiri) dan Penolong Pegawai J-KOM Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani (kanan) pada sidang media baru-baru ini. FOTO Bernama
DATUK Dr Mohammad Agus Yusoff (kiri) dan Penolong Pegawai J-KOM Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani (kanan) pada sidang media baru-baru ini. FOTO Bernama
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis akan merakam keterangan Datuk Mohammad Agus Yusoff sekali lagi berhubung video memaparkan perbualan seorang individu miripnya dengan seorang lelaki lain yang tular sejak minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lokasi dan masa rakaman percakapan Muhammad Agus yang juga bekas Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu akan ditentukan kemudian.

Menurutnya, pihaknya juga dalam proses mengenal pasti individu yang digelar sebagai 'Mr H' yang didakwa sebagai dalang di sebalik penularan video itu.

"Kita juga akan mengambil keterangan lelaki dipercayai kakitangan J-KOM didakwa dalam video berkenaan yang dikenali sebagai Wahab dalam masa terdekat ini.

"PDRM juga akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Polis Selangor menerima laporan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa babit dua individu termasuk seorang yang mirip Mohammad Agus.

Sebelum itu, rakaman video berdurasi 3.03 minit yang tular sejak Khamis lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan individu berkenaan dikenali umum.

Susulan itu, Mohammad Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Dakwanya, tindakan itu dipercayai sengaja dilakukan individu tertentu dengan niat mahu menjatuhkan reputasinya.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.

Abdul Wahab dilapor berkata rakaman video perbualan itu yang tular di media sosial sejak Khamis lalu adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 4:53 PM