PENGGUNAAN IBS bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kos pembinaan serta mengurangkan pergantungan kepada buruh asing, tetapi juga mempercepatkan garis masa pembinaan.
PENGGUNAAN IBS bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kos pembinaan serta mengurangkan pergantungan kepada buruh asing, tetapi juga mempercepatkan garis masa pembinaan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sistem binaan berindustri (IBS) di Malaysia berkembang dengan kukuh sejak 15 tahun lepas disokong oleh Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020, Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2021-2025 dan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 2021-2025, kata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Ketua Eksekutifnya Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata pelaksanaan IBS dalam projek kerajaan naik kepada 84 peratus berbanding 79.5 peratus pada 2020, manakala dalam projek swasta, ia meningkat dengan ketara kepada 60 peratus pada 2021 berbanding 41 peratus pada 2020.

"Memandangkan pencapaian terdahulunya dan perkembangan terkini IBS, adalah wajar ia menunjukkan peningkatan sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada kadar penggunaan untuk projek bangunan tahun ini (2023), terutamanya projek yang dibangunkan oleh sektor swasta," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, penggunaan IBS bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kos pembinaan serta mengurangkan pergantungan kepada buruh asing tetapi juga mempercepatkan garis masa pembinaan, memudahkan pengurusan dan keselamatan di tapak serta mengurangkan kesan alam sekitar industri pembinaan.

"Banyak pemaju besar kini menggunakan IBS dalam projek mereka dengan hasil yang memberangsangkan, iaitu Gamuda Bhd, SP Setia Bhd, Mah Sing Group Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Selain itu, beberapa syarikat pembinaan mempunyai kemudahan pembuatan dan teknologi IBS mereka sendiri kerana projek mereka mendapat permintaan tinggi dan antaranya ialah IJM Corporation Bhd, Gamuda, SP Setia, Malaysian Resources Corporation Bhd, Sunway Bhd, LBS Bina Group Bhd dan Country Garden Pacificview Sdn Bhd," katanya.

Beliau berkata setakat Mac 2023, terdapat 118 pembekal IBS di Malaysia, merangkumi semua jenis kategori IBS.

Ahmad Asri berkata IBS telah diberikan kelulusan untuk digunakan dalam projek kerajaan sejak 2008 dan dalam projek swasta mulai 10 Januari 2018, apabila kementerian perumahan dan kerajaan tempatan pada masa itu memerlukan projek bernilai RM50 juta dan ke atas untuk mencapai skor IBS minimum 50.

"Ketika ini, kerajaan sedang menyemak pekeliling untuk menaikkan skor kepada 70 sebagai inisiatif untuk memaksimumkan penggunaan IBS dan meningkatkan produktiviti dengan mengurangkan pergantungan kepada buruh di tapak projek.

"Cadangan menaikkan skor IBS kepada 70 telah diluluskan oleh Kabinet pada 19 Mei 2021 dan pekeliling baharu itu akan diumumkan kepada umum tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata cabang pembangunan hartanah Gamuda, Gamuda Land, menggunakan IBS bagi projek 714 unit Rumah Selangorku Jade Hills di Kajang dan dilaporkan mengurangkan masa pembinaan kepada dua tahun daripada tiga tahun.

Ahmad Asri berkata satu lagi projek dibangun menggunakan pendekatan IBS ialah 864 unit kompleks rumah mampu milik PKNS di Cyber Valley manakala SP Setia juga menggunakan IBS dalam projek kediaman dan komersial termasuk Setia City Mall, Specialty Centre di Hospital Kuala Lumpur dan Universiti AIMST di Sungai Petani, Kedah.

Beliau berkata Mah Sing Group menggunakan IBS bagi pembangunan M Aruna di Rawang untuk menambah baik kualiti output, kecekapan pembinaan dan masa penyiapan.

"Hasilnya, pembangunan itu menerima pelbagai pensijilan hijau daripada pihak berkuasa pensijilan bangunan hijau berprestij, termasuk pentauliahan Indeks Bangunan Hijau (GBI) Malaysia dan 'Green Mark' Pihak Berkuasa Bangunan dan Pembinaan Singapura (BCA)," katanya.

Gamuda Digital IBS merupakan penyedia penyelesaian IBS digital menyeluruh, merintis penggunaan IBS digital di Malaysia dengan kemudahan IBS digital pertama negara di Sepang.

Menurut Laporan Tahunan 2022 Gamuda, Digital IBS mampu membina pelbagai produk dengan mudah seperti rumah mampu milik, rumah bertanah mewah, bangunan tinggi dan juga kemudahan awam seperti sekolah dan hospital.

"Setiap komponen dihasilkan dalam persekitaran kilang terkawal kami dan diuji sepenuhnya, yang bermakna kualiti komponen terjamin melalui kaedah pembinaan yang lebih selamat dan mampan ini dengan pembaziran yang minimum.

"IBS Digital ialah sistem pengeluaran yang sangat padu untuk menyediakan produk akhir tanpa kesilapan dengan ketepatan dan kualiti yang tinggi, yang membolehkan reka bentuk disiapkan dalam talian menerusi platform yang dikongsi, dengan itu, menghapuskan kesilapan dan meningkatkan kecekapan sepanjang proses pembinaan," katanya.

Syarikat itu berkata robotik tercanggih dan tahap automasi yang tinggi juga merupakan aspek penting bagi Digital IBS.

"Ini membolehkan pembuatan produk akhir berkualiti tinggi yang memenuhi tahap toleransi yang ketat serta membolehkan penggunaan pelbagai produk pratuang bagi menampung pelbagai penggunaan bangunan termasuk pod bilik mandi pratuang.

"Piawaian kawalan kualiti tinggi kami sudah pun menyaksikan Digital IBS digunakan dengan meluas dalam beberapa projek Gamuda Land, termasuk Amber Residence di twentyfive.7, Gaia Residences di Gamuda Gardens dan Maya Bay Residences di Gamuda Cove," katanya.

Pengarah urusan kumpulan Datuk Lin Yun Ling berkata syarikat itu menyedari akan kelebihan yang disediakan oleh sistem digital dalam meningkatkan daya saing dan produktiviti dan giat melaksanakan lebih banyak proses digital dan aliran kerja dalam operasinya.

"Metodologi pembinaan digital seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Digital IBS telah berfungsi sebagai pembeza utama bagi Gamuda," katanya.

Menurutnya, setakat ini, syarikat itu telah melaksanakan, antara lainnya, platform perancangan sumber perusahaan (ERP), tinjauan dron dan portal Sistem Maklumat Geospatial (GIS)+BIM bersepadu selain pembangunan menarik lain yang sedang dalam perancangan.

"Bagi menyokong kejayaan transformasi digital kami, kami sedang membina keupayaan digital kakitangan kami melalui suntikan tenaga kerja baharu dengan pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan serta melalui latihan dan peningkatan kemahiran pekerja sedia ada," katanya.

Lin berkata dengan kerajaan dijangka memperkenalkan lebih banyak insentif untuk menggalakkan penggunaan Digital IBS yang lebih meluas, Gamuda Land akan menggunakan Digital IBS mencakupi semua pembangunannya selaras dengan rangka kerja pembinaan.

Menurutnya, penekanan utama kepada produktiviti, kualiti dan isu kekurangan tenaga kerja yang sedang berlaku sekarang memberikan kelebihan kepada syarikat itu.

"Dalam tahun kewangan 2023 kami telahpun mencatatkan beberapa perkembangan baik dengan jualan melepasi 2,500 unit kediaman termasuk kontrak RM87 juta untuk membekal dan memasang komponen pratuang bagi projek kerajaan di Negeri Sembilan, yang merupakan kontrak terbesar kami setakat ini.

"Prospek nilai perolehan kontrak kami bagi Digital IBS semakin meningkat dan berada di landasan pertumbuhan yang mampan yang akan memberikan kelebihan daya saing kepada kami dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.

Menurut Ahmad Asri, pelaksanaan IBS telah terbukti mampu memendekkan tempoh masa penyiapan projek dan meningkatkan kualiti kerja yang seterusnya menjadikan sektor pembinaan lebih cekap dari segi kos.

Bagaimanapun, katanya, dalam konteks di Malaysia, IBS masih lagi tentang pembuatan komponen sedangkan di negara lain, IBS digunakan dalam pembinaan volumetric (isi padu) yang membolehkan syarikat mencapai kecekapan kos dan masa yang lebih tinggi.

"Oleh itu, pada masa depan, kami menjangkakan pembinaan volumetric akan lebih banyak digunakan dan banyak teknologi canggih sedang dibangunkan untuk menambah baik produktiviti industri pembinaan seperti pencetakan 3D, robotik dan teknologi pembinaan pintar lain," katanya.

Menurutnya, penggunaan BIM, salah satu teknologi paling maju dan penting untuk membantu meningkatkan produktiviti dan kemampanan projek pembinaan di Malaysia, akan membolehkan pengurusan kitaran hayat yang cekap dan berkesan bagi persekitaran binaan, yang seterusnya meningkatkan produktiviti dan kemampanan sesuatu projek pembinaan.

Beliau berkata, model digital pintar BIM memberi manfaat kepada semua peringkat projek pembinaan kerana pelbagai pihak boleh mengakses dan mengemas kini model digital yang sama untuk memudahkan penyelarasan, komunikasi, analisis, pengurusan projek dan juga pengurusan aset.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 7:01 AM