MUSTAPA   melihat sistem IBS selepas merasmikan majlis pelancaran Direktori IBS dan Rantaian Bekalan Bahan Binaan 2017/2018 di Kuala Lumpur.
MUSTAPA melihat sistem IBS selepas merasmikan majlis pelancaran Direktori IBS dan Rantaian Bekalan Bahan Binaan 2017/2018 di Kuala Lumpur.
HM Digital

Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berada di landasan tepat untuk meraih pelaburan tambahan bernilai RM2 bilion bagi projek yang mengguna pakai sistem bangunan berindustri (IBS) menjelang 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehingga Oktober lalu, MIDA meluluskan pelaburan bernilai RM1.8 bilion bagi projek berkaitan IBS.

“Sudah banyak kita luluskan, namun kita perlu memastikan projek boleh direalisasikan,” katanya di majlis pelancaran Direktori IBS dan Rantaian Bekalan Bahan Binaan 2017/2018, di sini.

Mustapa berkata, IBS boleh menambah produktiviti sektor pembinaan tempatan untuk menjadikannya lebih cekap, memendekkan masa penyiapan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Beliau berkata, kebanyakan daripada 260 syarikat IBS tempatan sekarang adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghasilkan komponen asas.

Menurutnya, MIDA meluluskan empat projek berkaitan IBS dengan insentif cukai bagi menyokong penggunaan bahan dalam industri pembinaan.

Beliau menyebut contoh dua projek berskala besar yang sedang dimajukan sekarang merujuk kepada usaha untuk mencapai ekonomi bidangan, produktiviti dan kecekapan apabila menggunakan IBS.

Pertamanya Gamuda IBS milik penuh Gamuda Bhd, yang diberikan elaun cukai pelaburan oleh MIDA, sedang membangunkan kilang IBS bernilai RM500 juta di dua lokasi iaitu Sepang dan Banting, keduanya Country Garden Pacific View Sdn Bhd yang membina kilang IBS bernilai RM2.6 bilion di Forest City, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 8:59 AM