KERAJAAN komited tingkat penggunaan BIM dalam pembinaan.
KERAJAAN komited tingkat penggunaan BIM dalam pembinaan.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Produktiviti dalam industri pembinaan adalah salah satu teras yang digariskan kerajaan di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016 hingga 2020 bertujuan menyumbang kepada pencapaian matlamat pendapatan tinggi dengan menghasilkan output lebih tinggi daripada input sama atau sebaliknya.

Untuk mencapai produktiviti lebih baik, penggunaan teknologi seperti Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) dilihat salah satu daripada kaedah terbaik untuk digunakan dalam industri pembinaan bagi menjadikan industri pembinaan lebih berdaya saing dan kitaran hayat projek pembinaan lebih efektif dan cekap.

Kerajaan amat komited dalam mempertingkatkan penggunaan BIM di negara ini apabila menetapkan lima projek awam dengan anggaran nilai RM500 juta akan dijadikan projek perintis bagi pelaksanaan penuh BIM menjelang 2020.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, mandat itu dilihat tidak mustahil untuk dicapai kerana pihak seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah memulakan penggunaan BIM bagi dua projek kendaliannya iaitu pembinaan Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam dan Klinik Kesihatan Maran, Pahang.

“Walaupun ia satu keperluan namun kami memberi fokus kepada usaha promosi dan menggalakkan penggunaan BIM pada masa ini bagi menunjukkan bahawa ia satu kaedah yang memudahkan dan memberi kelebihan dalam perancangan dan pembinaan sesuatu projek.

“Untuk pihak CIDB, kami tidak menetapkan sebarang sasaran bagi penggunaan BIM kerana kami ingin melihat dan mengkaji sambutan terhadap teknologi itu sebelum menetapkan sebarang keputusan namun saya percaya ia akan meningkat terutama menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata, BIM adalah satu kaedah yang sudah diguna pakai di kebanyakan negara maju seluruh dunia dan ia adalah teknologi terkini yang membabitkan proses untuk membangunkan dan menguruskan maklumat reka bentuk bangunan melalui penggunaan imej tiga dimensi dan informasi reka bentuk pintar.

Menurutnya, penggunaan BIM mampu membantu pemain industri mengesan sebarang masalah pada reka bentuk binaan dan mengurangkan pembaziran bahan binaan sekali gus menyelesaikan masalah penyelarasan di tapak binaan di samping mengurangkan masa mereka bentuk sesuatu bangunan dan menjimatkan masa serta kos sesuatu projek.

“Walaupun BIM dapat meningkatkan produktiviti sesuatu projek namun penggunaan teknologi itu dilihat masih rendah ekoran kos perisian dan perkakasan BIM agak tinggi. Ia juga memerlukan latihan kerana penggunaannya sedikit rumit dan memerlukan latihan serta koordinasi bagi setiap pihak terbabit dalam sesuatu projek bagi menggunakan teknologi itu,” katanya.

Ahmad Asri berkata, CIDB mengambil inisiatif mewujudkan sebuah pusat BIM atau dikenali pusat MyBIM yang dijangka mula beroperasi pada Mei tahun ini dengan pelaburan berjumlah RM2.5 juta bagi mengatasi masalah akses terhad kepada teknologi itu.

Pusat terbabit akan memberi peluang kepada penggiat industri mengadakan latihan dan menggunakan perkhidmatan BIM dengan bayaran berpatutan dengan menawarkan sebanyak 40 terminal BIM dengan perisian terkini berbanding hanya 12 terminal di pusat BIM sementara di Cheras di samping pusat BIM satelit di beberapa lokasi seluruh negara

Ahmad Asri berkata, Pusat MyBIM itu perlu diwujudkan kerana peluang untuk menggunakan kemudahan terminal BIM di tempat sedia ada adalah terhad dan pembukaan fasiliti itu diyakini mampu memberi keselesaan kepada lebih ramai penggiat industri mengadakan latihan dan menggunakan teknologi itu

Selain mewujudkan pusat BIM, CIDB akan menganjurkan lebih banyak seminar dan latihan berkaitan BIM untuk meningkatkan pengetahuan penggiat industri di mana ramai pihak seperti syarikat pemaju terkemuka seperti UEM Sunrise, Gamuda dan IJM disamping firma seni bina berminat untuk melaksanakan dan melabur untuk teknologi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 7:23 AM