Azzman Abdul Jamal


SYARIKAT pemaju hartanah disaran mengguna pakai teknologi Informasi Permodelan Bangunan (BIM) sekiranya bercadang melakukan projek pembinaan di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, menerusi penggunaan BIM, syarikat pemaju dapat memantau dan membahagikan skop kerja semua pihak terbabit dengan projek pembinaan dijalankan selain dapat mengesahkan kuantiti dan kualiti bahan digunapakai dengan mudah.

“BIM adalah model digital tiga dimensi (3D) sesuatu bangunan atau struktur mengandungi pelbagai maklumat geometri dan parameter dihasilkan melalui perisian.

“Model BIM boleh digunakan untuk melihat kitaran hidup sebuah struktur bangunan yang akan dibina daripada peringkat perancangan hingga penyelenggaraannya apabila siap kelak.

“Menerusi teknologi ini, kesilapan dan ketidakseragaman data serta reka bentuk dapat dielakkan, sekali gus mengurangkan risiko perubahan kerja dan meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek,” katanya pada Majlis Pelancaran MyBIM Satelit ABM Wilayah Selatan di Pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Negeri Sembilan di Seremban 2, Seremban, hari ini.

Beliau berkata, BIM dapat menentukan anggaran kos pembinaan bangunan dan elemen itu dilihat penting sekiranya syarikat pemaju ingin mendapatkan tender projek pembangunan di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Teknologi CIDB, Datuk Elias Ismail, berkata kajian dijalankan CIDB menunjukkan kadar penggunaan BIM di Malaysia masih rendah iaitu pada kadar 17 peratus.

Beliau berkata, jumlah projek pembinaan menggunakan BIM di negara ini kian bertambah dan usaha perlu dilakukan bagi mempersiapkan pemain industri mengenai BIM.

“MyBIM Satelit ABM Wilayah Tengah ini bertujuan menyokong peranan Akademi Binaan Malaysia (ABM) dalam menyediakan latihan BIM kepada pemain industri di samping menyokong fungsi pusat MyBIM.

“Dilengkapi dengan stesen kerja, BIM yang boleh memuatkan seramai 20 orang dengan kemudahan projektor LCD dan skrin lengkap untuk memudahkan pembelajaran menggunakan kemudahan dan teknologi BIM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 9:43 PM
AMINUDDIN (tengah) mencuba alat ‘Virtual Reality’ selepas menyempurnakan Majlis Perasmian MyBIM Satelite ABM Wilayah Tengah dan Rumah Terbuka CIDB Negeri Sembilan di Seremban 2, Seremban, hari ini sambil diperhatikan Elias (kanan). FOTO Adzlan Sidek.
AMINUDDIN (tengah) mencuba alat ‘Virtual Reality’ selepas menyempurnakan Majlis Perasmian MyBIM Satelite ABM Wilayah Tengah dan Rumah Terbuka CIDB Negeri Sembilan di Seremban 2, Seremban, hari ini sambil diperhatikan Elias (kanan). FOTO Adzlan Sidek.