Iskandar Shah Mohamed


KERAJAAN yakin Sistem Binaan Berindustri Digital (IBS) mampu membantu merealisasikan sasaran pembinaan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sistem itu membolehkan pemaju membina rumah lebih pantas tanpa mengabaikan kualitinya menerusi inovasi dan teknologi digital yang terdiri daripada model maklumat bangunan (BIM) dan alat reka bentuk dalam talian.

“Teknologi IBS digital ini tepat pada masanya selaras dengan perkembangan revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) yang menjadi trend terkini automasi dan teknologi pembuatan semasa.

“Ia juga memberi peluang menyedia dan mempertingkatkan tenaga kerja tempatan untuk masa depan.

“Selain itu, penggunaan teknologi berkenaan sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing dan aliran keluar wang ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kilang Gamuda IBS Banting di Kawasan Perindustrian Bandar Mahkota, Banting, hari ini.

Hadir sama, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat Dr A Xavier Jayakumar; Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir; Ahli Lembaga Pengarah Gamuda Berhad Datuk Seri Eleena Sultan Azlan Shah dan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad Datuk Lin Yun Ling.

Dr Mahathir berkata, keutamaan Kerajaan Persekutuan antaranya menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah di lokasi bersesuaian untuk mendapat peluang pekerjaan dan ekonomi.

“Justeru, projek pembangunan perumahan mampu milik perlu dirancang dengan baik termasuk kemudahan rekreasi berkualiti seperti taman awam, kawasan riadah dan kelab komuniti.

“Dasar Perumahan Negara (2018-2025) memberi tumpuan kepada isu perumahan sosial di peringkat komuniti terutama kawasan perumahan berstrata kos rendah di seluruh negara dan mempunyai agensi pusat untuk mengkoordinasikannya.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mensasarkan pembinaan sehingga 100,000 rumah mampu milik pada harga RM300,000 menjelang akhir tahun ini. Ia selaras manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha Gamuda Berhad perlu dipuji kerana mengeluarkan pelaburan lebih RM500 juta bagi pembinaan dua kilang berteknologi tinggi.

“Ia boleh menetapkan trend dalam meningkatkan dan mengubah industri pembinaan kepada digital kerana turut meningkatkan kemahiran tenaga kerja binaan dan kualiti lebih baik.

“Rumah mampu milik dikatakan akan dibina menggunakan piawaian sama dengan rumah mewah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 4:27 PM
DR Mahathir mendengar penerangan mengenai kilang Gamuda IBS Banting daripada Pengurus Kilang Gamuda IBS, Lin Hui Yan (kanan) selepas merasmikannya di Persiaran Graphite, Kawasan Perindustrian Bandar Mahkota Banting.  FOTO Saddam Yusoff
DR Mahathir mendengar penerangan mengenai kilang Gamuda IBS Banting daripada Pengurus Kilang Gamuda IBS, Lin Hui Yan (kanan) selepas merasmikannya di Persiaran Graphite, Kawasan Perindustrian Bandar Mahkota Banting. FOTO Saddam Yusoff