KEADAAN pemandu dan bas yang terbabit dalam kemalangan enam kenderaan di KM 37 Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu, Pasir Puteh. FOTO Ihsan Bomba/Pembaca
KEADAAN pemandu dan bas yang terbabit dalam kemalangan enam kenderaan di KM 37 Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu, Pasir Puteh. FOTO Ihsan Bomba/Pembaca
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Seorang pemandu bas ekspres putus tangan kanan dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di KM 37 Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu (Persimpangan Lampu Isyarat Bypass Sri Aman), petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 petang tadi, mangsa, Mohamad Amiruddin Azhar, 27, cedera parah manakala dua lagi mangsa iaitu penumpang bas cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati bas berkenaan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu.

"Apabila sampai di lokasi kemalangan, bas berkenaan hilang kawalan dan merempuh lori yang berhenti di lampu merah.

"Lori berkenaan seterusnya meluncur ke hadapan dan merempuh empat kenderaan di hadapannya," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Zaizul berkata, mangsa lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, kemalangan membabitkan bas ekspres Mutiara, lori muatan tabung oksigen dan kereta Proton Wira, Honda Jazz, Honda City dan Honda Civic.

Katanya, pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan pemandu bas yang tersepit.

Katanya, dua penumpang bas, Zawahir Omar, 73, dan Jarah Said, 64 cedera ringan dengan ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 11:44 PM