Keadaan jalan di Bukit Abal antara yang terjejas akibat banjir di Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Keadaan jalan di Bukit Abal antara yang terjejas akibat banjir di Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Enam jalan di Pasir Puteh ditutup selepas dinaiki air melebihi satu meter akibat banjir sejak semalam.

Tiga jalan berkenaan adalah jalan utama iaitu Jalan Gaal (Kilometer 33.5 - TNB Gaal, Kampung Batu Hitam), Jalan Panggong Tiga Daerah (KM 32- Jalan Kota Bharu/ Kuala Terengganu) dan Jalan Gong Chapa.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, tiga lagi jalan kampung membabitkan Jalan Gaal- Kampung Bukit; Jalan Pasir Puteh - Gong Kelih membabitkan kawasan kampung Surau, Saring, Klinik Jeram dan Telipot, dan Jalan Pasir Puteh - Semerak.

"Kesemua laluan ini ditutup untuk semua kenderaan dengan ditenggelami air," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara jalan alternatif yang boleh dilalui pengguna jalan raya adalah Jalan Pesisir Pantai (Tok Bali-Pachakan), dan Kalam Jelor-Pasir Puteh melalui Bukit Gedombak dan Jalan Bypass Tok Bali.

Zaizul berkata, selain keadaan jalan, beliau juga memaklumkan bandar lama Pasir Puteh masih boleh dilalui dan tidak lumpuh sepertimana yang tular di laman sosial.

"Cuma ada beberapa jalan yang menghubungkan kawasan bandar tidak boleh dilalui namun masih terkawal.

"Kita berharap masyarakat tidak menimbulkan suasana panik kepada awam dan berpindah segera, jika kawasan kediaman dinaiki air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 11:24 AM