ANTARA sukarelawan Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima beramah mesra bersama kanak-kanak anak yatim. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANTARA sukarelawan Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima beramah mesra bersama kanak-kanak anak yatim. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Iffah Najwa Mohd Zamri dan Siti Nur Ain Mat Ripar


Gombak: Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima hari ini tiba di daerah ini bagi menyantuni 25 asnaf dan anak yatim di Rumah Penyayang Darul Ilmi Gombak di sini.

Pelbagai aktiviti dijalankan di rumah kebajikan antaranya aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar dan menyediakan juadah berbuka puasa.

Rumah Penyayang Darul Ilmi menjadi lokasi ke-10 pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu yang turut diserikan dengan kehadiran selebriti seperti penyanyi terkenal, Tajul Ariff; pelakon, Azrel Ismail; pengacara dan pelakon komedi, Faiz Tapaw serta hos OHBULAN! TV.

Menurut Faiz, aktiviti yang diadakan pada kali ini sedikit berbeza kerana rata-rata penghuni terdiri daripada kanak-kanak yang berusia seawal lima sehingga 12 tahun.

"Sebelum ini kebanyakan penghuni terdiri daripada remaja dan aktiviti yang dijalankan juga berbeza seperti mengecat dan bergotong-royong menyediakan juadah berbuka dalam kuantiti yang besar.

"Saya rasa seronok kerana dapat berjumpa dengan anak yatim di sini dan apabila sebut tentang anak yatim, pasti kita akan kaitkan mereka dengan anak syurga. Jadi saya memang akan datang membantu, terutama apabila membabitkan anak yatim," katanya di sini, hari ini.

Turut serta dalam program kali ini ialah 25 Skuad Seindah Kasih, 30 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) serta pengurusan Rumah Penyayang Darul Ilmi.

USTAZ Wan Razmie (tiga, kanan) menerima sumbangan barangan keperluan daripada  Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
USTAZ Wan Razmie (tiga, kanan) menerima sumbangan barangan keperluan daripada Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda Media Prima. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Dalam pada itu, terpancar kegembiraan penghuni Rumah Penyayang Darul Ilmi apabila dapat melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama pelajar UIA serta dimeriahkan lagi dengan kehadiran Maskot Ejen Ali bagi menyuntik perasaan gembira dan semangat dalam kalangan mereka.

Turut diadakan penyampaian sumbangan Kotak Rezeki yang mengandungi keperluan asas dapur seperti beras, gula, tepung, sos serta penyerahan peralatan sukan untuk diberikan kepada anak yatim dan asnaf di situ.

Pelakon, Azrel Ismail turut meluahkan rasa teruja kerana berpeluang menyertai aktiviti yang dijalankan Skuad Seindah Kasih pada kali ini.

Katanya, ini kali kedua beliau terbabit dengan program ini dan berharap supaya program seperti ini tetap diteruskan pada masa akan datang.

"Program sebegini bagus untuk artis seperti kami kerana banyak pendedahan baru yang diperoleh dan jika berkelapangan, saya pasti akan menyertai lagi," katanya.

Sementara itu, Pengasas Rumah Penyayang Darul Ilmi, Ustaz Wan Razmie Wan Othman berkata, pihak pengurusan berterima kasih dan bersyukur kerana menjadi salah satu lokasi pilihan bagi program kali ini.

"Jarang ada pihak yang datang jauh ke sini dan saya bersyukur serta berterima kasih kepada Skuad Seindah Kasih kerana bersama-sama membantu membersihkan kawasan di sini serta memberi sumbangan kepada anak-anak di sini," katanya.

Skuad Seindah Kasih akan bergerak ke lokasi seterusnya esok bertempat di Rumah Anak Yatim Baitul Barokah, Sepang bagi program seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 10:13 PM