Noorazura Abdul Rahman


Sik: Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda dilancarkan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) meneruskan program jelajah di daerah ini, hari ini dengan mendekati warga emas di Pondok Warga Emas Raudhatul Jannah Sik.

Seramai 25 kru yang terbabit menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan berkenaan selain rewang menyediakan gulai daging dengan umbut pisang untuk berbuka puasa bersama 85 orang warga pondok berkenaan.

Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda turut mengagihkan set kelengkapan solat, tongkat dan pakej set iftar iaitu sumbangan minuman isotonik, 10 unit kotak rezeki yang mengandungi makanan kering untuk kegunaan sepanjang bulan puasa ini.

Pelakon dan Penyanyi, Mohamed Razman Abdul Aziz atau dikenali sebagai Aman Aziz berkata, dia sangat teruja dapat mendekati warga emas di pondok itu sekali gus memberi keinsafan di bulan mulia ini.

AMAN Aziz (kanan) bergotong-royong membasuh daging kerbau untuk dimasak gulai daging umbut pisang sempena program Seindah Kasih X Jom Ronda di Pondok Warga Emas Raudhatul Jannah Sik di sini. FOTO Danial Saad
AMAN Aziz (kanan) bergotong-royong membasuh daging kerbau untuk dimasak gulai daging umbut pisang sempena program Seindah Kasih X Jom Ronda di Pondok Warga Emas Raudhatul Jannah Sik di sini. FOTO Danial Saad

"Saya mengikuti banyak program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tapi yang ini saya rasa kelainan apabila dapat bersama dengan anak yatim di Sungai Petani semalam dan hari ini dengan warga emas.

"Contohnya hari ini saya dapat mendekati warga emas di sini yang sanggup meninggalkan keluarga untuk mendalami ilmu agama, saya juga dapat merasai pengalaman pertama menyediakan gulai daging umbut pisang, sebelum ini saya tak pernah tahu pun ada lagi bahagian pada pokok pisang yang boleh dimakan," katanya ketika ditemui, di sini.

Bagi penghuni Pondok Warga Emas Raudhatul Jannah Sik, ShahromAkop, 73, dia sangat bersyukur menerima sumbangan yang disampaikan oleh Media Prima.

"Inilah program pertama yang kami warga pondok sertai pada bulan Ramadan, saya rasa gembira kerana orang dari jauh datang memberi bantuan di sini, terima kasih atas keprihatinan mereka terhadap warga pondok di sini.

"Kami rasa diraikan, apatah lagi dengan keadaan saya yang tidak mampu berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda sejak tahun lalu, apabila ada orang datang, saya rasa gembira dapat beramah mesra dengan mereka," katanya yang menghuni pondok itu sejak 2018.

AMAN Aziz menunjukkan antara barangan yang disumbangkan kepada Pondok Tahfiz Raudhatul Jannah Sik, sambil diperhatikan mudirnya, Ustaz Alias Abdullah. FOTO Danial Saad.
AMAN Aziz menunjukkan antara barangan yang disumbangkan kepada Pondok Tahfiz Raudhatul Jannah Sik, sambil diperhatikan mudirnya, Ustaz Alias Abdullah. FOTO Danial Saad.

Sementara itu, pengasas pondok berkenaan yang juga Mudir Pondok Tahfiz Raudhatul Jannah Sik, Ustaz Alias Abdullah berkata, beliau berterima kasih kepada Media Prima kerana memilih pondok itu untuk menerima sumbangan yang akan diedarkan kepada penghuni.

"Saya sebenarnya agak terkejut bagaimana Media Prima boleh memilih pondok ini untuk diedarkan bantuan kerana lokasi kami berada di kawasan yang agak pedalaman.

"Alhamdulillah semua ini rezeki daripada Allah, walaupun jauh, orang di bandar dapat mencari kami menghulurkan sumbangan," katanya.

Sik adalah lokasi kedua dikunjungi skuad ini selepas Sungai Petani semalam sebelum meneruskan jelajah mereka di Perlis esok.

 PENYANYI sebagai Aman Aziz (kanan) bergotong-royong memasak gulai daging umbut pisang. FOTO Danial Saad.
PENYANYI sebagai Aman Aziz (kanan) bergotong-royong memasak gulai daging umbut pisang. FOTO Danial Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 6:07 PM