Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda hari ini turun padang membantu warga emas dan orang kurang upaya (OKU) melakukan fisioterapi di Shalis Care Centre di sini.

Skuad 25 individu dilancarkan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) itu turut bergotong-royong membersihkan kawasan, selain berganding bahu menyediakan juadah berbuka puasa untuk penghuni serta kakitangan di pusat berkenaan.

Turut diagihkan kotak rezeki yang mengandungi barangan keperluan asas, beras, dan kerusi roda untuk warga pusat itu.

Pengarah Urusan Shalis Care Centre, Shahzayati Che Hassan berkata, sangat berbesar hati menerima kunjungan Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda yang sudi menyantuni penghuni pada Ramadan.

"Alhamdulillah, kami dapat melihat kegembiraan yang terpancar di wajah setiap penghuni. Mereka bersama-sama menjalankan aktiviti termasuk bermain congkak, papan dam dan Puzzle.

"Bagi proses fisioterapi, skuad turut dibantu jurupulih yang sedia berkhidmat di sini. Dalam masa sama, kehadiran skuad dapat mengubat kerinduan mereka kepada keluarga dan anak-anak," katanya.

Beliau berkata, kunjungan itu juga membuka mata lebih ramai pihak untuk turun padang membantu golongan kurang memerlukan.

Program Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda turut disertai selebriti, Shah Sulaiman atau nama sebenar Mohd Shah Rizal Sulaiman serta lebih 20 penuntut Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) Kota Bharu.

Sementara itu, penghuni, Mohd Azman Shah Nik Yusuf, 73, meluahkan kegembiraan dengan kunjungan ramai 'anak' hari ini.

"Saya tidak pernah merasa ada anak kerana tidak pernah berkahwin, jadi program hari ini benar-benar memberi erti buat saya. Kami bermain bersama-sama dan mereka (skuad) melayan saya dengan sangat baik.

"Terima kasih Media Prima kerana sudi menyantuni kami di sini, semoga selepas ini ada lagi kunjungan sebegini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 5:55 PM