Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Inisiatif tiga guru yang sanggup memakai maskot beruang, panda dan rusa ketika menyambut kehadiran murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan, di sini, hari ini, membawa keceriaan kepada murid.

Tinjauan Harian Metro di sekolah berkenaan mendapati tiada 'drama' air mata bagi murid tahun satu dan prasekolah, sebaliknya semua murid hadir dengan ceria terutama apabila disapa tiga maskot yang menunggu di pagar sekolah.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Norhayati Ab Wahab juga meluangkan masa hampir sejam melawat dan turut memberi motivasi kepada murid.

Guru Pendidikan Jasmani, Afifi Azaly Mustapa, 27, berkata, dia dan dua guru lelaki memakai kostum untuk menghiburkan murid pada sesi persekolahan baru bermula hari ini.

Menurutnya, dia tidak kisah memakai kostum beruang biarpun terpaksa menahan panas dan berpeluh lebih dua jam demi anak didiknya.

"Saya sudah mengajar di sekolah ini sejak empat tahun lalu dan hari ini adalah pengalaman pertama memakai kostum, malah melakukannya dengan senang hati.

"Saya mula memakai kostum sejak 6.30 pagi tadi dan ia memang mencabar sebab panas serta berpeluh tetapi saya tidak berasa rimas.

"Pada saya asalkan ia memberi respon positif dan murid ceria ke sekolah saya juga gembira, malah segala rasa penat juga hilang," katanya.

MURID disambut dengan maskot ketika hadir sesi persekolahan baru di SK Desa Tasik. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MURID disambut dengan maskot ketika hadir sesi persekolahan baru di SK Desa Tasik. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Katanya, sebagai guru bukan saja mendidik anak murid di kelas, dia juga perlu bijak 'menawan' hati muridnya ke sekolah dengan gembira.

"Apabila 'mood' mereka baik, kita mengajar juga lebih seronok. Semua anak murid sudah dianggap seperti anak sendiri dan kami akan berikan yang terbaik untuk mereka," kata bapa kepada seorang anak itu.

Sementara itu, Guru Besar, Mazlan Bahari berkata, pemakaian kostum oleh guru sekolah itu adalah inisiatif sekolah sejak lima tahun lalu dan mereka menyewa kostum itu dengan kerjasama guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Ini inisiatif sekolah untuk menceriakan murid yang hadir ke sekolah supaya memberi kesan positif dan sekali gus menggalakkan kehadiran ke sekolah. Terutama murid tahun satu yang ada mulanya takut tetapi apabila melihat maskot itu, berasa seronok.

"Selain itu, kami juga memberi cenderahati kepada murid yang datang awal ke sekolah selama tiga hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:59 PM