MURID SK Tanjong Agas, Pasir Panjang, Port Dickson gembira disambut Dora sebaik sampai ke sekolah. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
MURID SK Tanjong Agas, Pasir Panjang, Port Dickson gembira disambut Dora sebaik sampai ke sekolah. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria


“SEKOLAH kampung pun perlu diceriakan dengan memakai kostum watak kartun,” kata guru, Afeeq Busyra, 25, ketika ditemui dengan memakai kostum 'Dora' di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Agas, Pasir Panjang, Port Dickson, hari ini.

Katanya, idea itu timbul selepas dicadangkan Guru Besar SK Tanjong Agas, Fuziah Mohd Nor dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah bagi menarik perhatian murid di minggu pertama persekolahan.

“Bagi saya tugas memakai kostum ini menarik kerana murid tak tahu pun siapa yang memakai kostum Dora yang menyambut mereka di pintu pagar sekolah.

“Murid nampak seronok dan ceria ke sekolah sambil bersalam dengan 'Dora' dan guru besar. Harapan saya agar semangat ini kekal hingga ke hujung tahun,” kata guru Bahasa Inggeris itu.

Sementara itu, Fuziah berkata, walaupun sekolah itu kecil, tetapi mereka berjiwa besar.

“Murid tahun satu kita sematkan 'Button Badge Transisi' kerana mereka akan ikuti program Transisi atau orientasi selama tiga minggu ini.

“Maskot Dora adalah guru kami yang sanggup menjadi hero dengan memakai kostum watak kartun dan secara tidak langsung menggembirakan 147 murid sekolah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 12:37 PM