HANAFIAH Mat. FOTO Arkib NSTP.
HANAFIAH Mat. FOTO Arkib NSTP.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendakwanya mempersenda Menu Rahmah.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai menganggap fitnah itu cuba menjatuhkan reputasinya sebagai Exco Kerajaan Negeri dan wakil rakyat.

Beliau menegaskan tidak berniat mempersendakan Menu Rahmah seperti yang ditularkan, malah tidak menyebut hidangan yang dimakan pada hari kejadian bersama rakannya di sebuah restoran di luar Terengganu baru-baru ini adalah Menu Rahmah.

"Saya tidak berniat sedemikian dan sebagai wakil rakyat, denyut nadi rakyat terutamanya golongan miskin mengalir di dalam diri saya.

"Ini semua strategi nak menjatuhkan saya kerana PRN (Pilihan Raya Negeri) sudah pun hampir dan saya sudah mendapatkan pandangan peguam untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba memburukkan saya.

"Berkenaan video yang dikatakan sudah tiada di akaun TikTok , saya tak 'delete' pun cuma 'hide' sementara atas nasihat peguam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketika diminta menjelaskan video berkenaan, Hanafiah berkata, menu yang disediakan di restoran berkenaan adalah sepinggan nasi bersama seekor ikan goreng, kobis, ayam goreng dan telur goreng.

"Harga untuk dua orang makan adalah sebanyak RM15 dan jika ia Menu Rahmah takkanlah harganya sampai RM15.

"Apa yang saya cuba sampaikan adalah saya makan nasi kena ada kuah, jadi saya curah air oren ke dalam pinggan dan saya tidak menyebut langsung pasal Menu Rahmah," katanya.

Hanafiah dikecam netizen dan beberapa ahli politik selepas memuat naik video yang didakwa mempersenda Menu Rahmah di TikTok.

Dalam video berdurasi 18 saat itu, Hanafiah dilihat mencurah minumannya ke nasi kerana makanan itu tidak berkuah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 9:33 PM