Dr Ahmad Fadhzil terpanggil untuk menyahut seruan kerajaan bagi meringankan beban golongan B40 dengan memperkenalkan tiga menu Rahmah.
Dr Ahmad Fadhzil terpanggil untuk menyahut seruan kerajaan bagi meringankan beban golongan B40 dengan memperkenalkan tiga menu Rahmah.
BERNAMA

Kangar: Kesusahan ketika bergelar mahasiswa perubatan di Rusia kira-kira 15 tahun lalu mendorong seorang pemilik rangkaian klinik swasta yang juga pengusaha restoran mengambil bahagian dalam inisiatif menawarkan menu Rahmah di negeri ini.

Pemilik Restoran Bekwoh Dr Ahmad Fadhzil Mohamad, 38, berkata, beliau terpanggil untuk menyahut seruan kerajaan bagi meringankan beban golongan B40 dengan memperkenalkan tiga menu Rahmah.

"Ketika belajar di Rusia saya pernah belajar memasak, dari situ timbul minat untuk terbabit dalam perniagaan makanan.

"Buat permulaan saya perkenalkan tiga menu Rahmah iaitu nasi ayam cincang, nasi telur berlada dan nasi gulai ikan termenung (ikan kembung) bersama air sirap dengan harga RM5 bagi setiap hidangan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, hatinya tersentuh apabila melihat seorang lelaki berpakaian lusuh membawa tiga orang anak untuk menikmati Menu Rahmah di restorannya semalam.

"Pada kebiasaanya satu hidangan nasi bersama sejenis lauk, sayur dan air boleh mencecah RM10.

"Saya berasa gembira secara tidak langsung dapat membantu golongan B40 dengan menawarkan menu Rahmah pada harga serendah RM5," katanya.

Dr Ahmad Fadhzil berkata, sebagai seorang pengamal perubatan beliau memastikan bahawa menu yang disediakan adalah sihat dan mengandungi zat makanan seimbang seperti protein, karbohidrat dan fiber.

"Alhamdulillah sambutan yang diterima sejak hari pertama menu ini dijual semalam, amat menggalakkan khususnya daripada pelajar sekolah dan orang ramai," katanya.

Dr Ahmad Fadhzil berkata, beliau bercadang untuk menambah Menu Rahmah di restoran pada masa akan datang agar pelanggan tidak jemu menikmati menu yang sama.

Sementara itu, seorang Tiktoker Sharifah Shafinaz Syed Azmi, 29, yang mesra dengan panggilan Pinat berkata, sebagai menyokong usaha mempromosi Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dia mengadakan ulasan makanan di gerai dan restoran yang menjual menu Rahmah di akaun TikToknya Pinatreview.

"Dengan cara ini saya dapat memberi maklumat kepada peminat TikTok khususnya golongan B40 di mana mereka boleh dapatkan menu Rahmah pada harga serendah RM5," katanya yang mempunyai 226,100 pengikut.

Beliau berkata, di Perlis terdapat banyak kedai makanan yang masih menjual menu makanan pada harga RM5 namun ramai masih tidak mengetahuinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 4:13 PM