Menu Rahmah (makan tengahari) yang ditawarkan di Pasar Raya Besar Mydin di Taman Pelangi Indah di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Menu Rahmah (makan tengahari) yang ditawarkan di Pasar Raya Besar Mydin di Taman Pelangi Indah di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kebanyakan pelanggan yang membeli Menu Rahmah berpuas hati dengan kualiti mahupun kuantiti makanan tengah hari ditawarkan dengan harga serendah RM4.90.

Suri rumah, Siti Nah Ghazali, 51, yang tinggal di Puteri Wangsa di Ulu Tiram di sini berkata, dia tidak ketinggalan bagi membeli pek makanan Menu Rahmah seawal jam 12 tengah hari ini di Pasar Raya Besar Mydin di Taman Pelangi Indah di sini.

Menurutnya, jika sebelum ini dia berbelanja sehingga RM8 hingga RM10 untuk makan tengah hari kini berpeluang untuk berjimat dengan adanya Menu Rahmah.

Katanya, dengan harga RM4.90, pek berkenaan mengandungi nasi, sambal ikan, kubis selain turut disediakan air minuman.

"Kuantiti makanan di pek itu sesuai bagi kanak-kanak sehinggalah dewasa, malah ia dibungkus dengan kemas bagi memudahkan orang ramai.

"Selain menjadi hidangan seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan, menu berkenaan juga lazat.

"Memang pembelian Menu Rahmah amat berbaloi terutama bagi golongan B40 yang terkesan dengan kenaikan harga barang dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Haliza Mohamad, 57, berkata program berkenaan jelas membantu golongan B40 khususnya yang tinggal di kawasan bandar untuk menanggung kos sara hidup setiap hari.

Menurutnya, ia meringankan beban rakyat yang berhasrat mendapatkan pilihan makanan yang sihat dan seimbang.

"Bagi saya menu makanan tengah hari iaitu nasi putih, lauk dan air mineral ini berpatutan harganya serta boleh mengenyangkan.

"Saya berharap Menu Rahmah ini diperluaskan di lebih banyak restoran bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

"Lauk Menu Rahmah juga seharusnya dipelbagaikan serta perlu dipastikan kualiti dan kuantitinya adalah sama," katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Salim Mohamad Arif, 43, berkata jualan Menu Rahmah juga perlu dipromosikan supaya ia memanfaatkan lebih ramai penduduk.

"Saya yakin ramai yang masih tidak mengetahui berkaitan Menu Rahmah ini," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, orang ramai yang terdiri daripada pelbagai latar belakang mula membeli makanan tengah hari yang berharga hanya RM4.90 seawal jam 12 tengah hari.

Sambutan terhadap Menu Rahmah adalah sederhana setakat ini dipercayai berikutan hidangan berkenan masih baharu diperkenalkan.

Selain makanan tengahari yang ditawarkan pada harga RM4.90, bihun goreng dan nasi goreng ditawarkan dengan harga RM2.50 selain nasi lemak telur goreng dengan harga RM2.49.

Menu Rahmah juga ditawarkan di cawangan pasar raya Mydin di Taman Mutiara Rini dan Taman Rinting.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 4:37 PM