HANAFIAH menunjukkan laporan polis yang dibuat susulan penyebaran video kurang sopan membabitkan beliau dengan Ahmad. FOTO ihsan YB Hanafiah
HANAFIAH menunjukkan laporan polis yang dibuat susulan penyebaran video kurang sopan membabitkan beliau dengan Ahmad. FOTO ihsan YB Hanafiah
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat meminta polis menyiasat individu yang bertanggungjawab menyebarkan video kurang sopan membabitkan beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.

Hanafiah berkata, penyebaran video berdurasi empat saat itu diambil dan disebarkan individu tidak dikenali di Facebook dan WhatsApp dengan niat mengaib dan menjatuhkan maruahnya.

"Saya menyedari penyebaran video itu ketika berada di dalam khemah perasmian program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus jam 1.30 tengah hari kelmarin (Sabtu).

"Video kurang sopan itu menunjukkan seolah-olah Adun Kijal ingin memegang kemaluan saya dan penyebaran video ini bertujuan mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya.

"Ia diambil dan disebarkan tanpa persetujuan saya dan saya mohon polis melakukan siasatan lanjut bagi mengesan individu yang terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai membuat laporan di Balai Polis Chukai, Kemaman jam 11.42 malam tadi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 10:36 AM