Penduduk Taman Seri Kemuning Indah khususnya di Lorong 5 di sini semakin resah berikutan tanah runtuh dan hakisan yang ketara sejak beberapa bulan lalu. FOTO ROSELAN AB MALEK
Penduduk Taman Seri Kemuning Indah khususnya di Lorong 5 di sini semakin resah berikutan tanah runtuh dan hakisan yang ketara sejak beberapa bulan lalu. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Temerloh: Penduduk Taman Seri Kemuning Indah khususnya di Lorong 5, di sini, resah berikutan tanah runtuh dan hakisan yang ketara sejak beberapa bulan lalu.

Situasi itu semakin membimbangkan kerana ia semakin menghampiri kediaman mereka selain keadaan hujan ketika ini.

Kakitangan swasta, Roslan Sentul, 55, berkata hakisan berlaku sejak Jun 2022 dan semakin ketara pada Oktober lalu.

Menurutnya, dia juga terpaksa menukar lokasi majlis perkahwinan anak perempuannya baru-baru ini ke lokasi lain kerana situasi terbabit.

"Penduduk memang risau dan berharap masalah ini segera diatasi sebelum berlaku kejadian tidak diingini.

"Kami bimbang keselamatan penduduk terutama anak-anak kecil selain risiko terhadap rumah penduduk," katanya yang tinggal di taman perumahan itu sejak 2004.

Pesara, Zainal Abidin Ahmad, 68, berkata terdapat 15 rumah di lorong berkenaan dan mengakui dilanda keresahan kerana masalah berkenaan saban hari.

"Bukan waktu cuaca hujan saja, ketika cuaca baik pun berlaku hakisan tanah dan paling terbaru beberapa hari lalu. Malah, taman permainan kanak-kanak berdekatan pun terjejas akibat masalah ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Asri Mubin berkata, masalah terbabit sudah mendapat perhatian pihak berwajib dan difahamkan hanya menunggu masa untuk dijalankan kerja-kerja pembaikan.

"Kita berharap masalah ini dapat diatasi segera sekali gus mengakhiri kebimbangan penduduk selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 4:24 PM