LOKASI kolam tadahan dijangka dibina susulan perumahan Taman Mutiara Bukit Raja, yang sering mengalami banjir kilat.
LOKASI kolam tadahan dijangka dibina susulan perumahan Taman Mutiara Bukit Raja, yang sering mengalami banjir kilat.
Norzamira Che Noh

Klang: Sebanyak tiga pam disediakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk mengeluarkan air hujan bertakung di kawasan Taman Mutiara Bukit Raja ketika ini.

MPK dalam satu kenyataan memaklumkan ketika ini, sebuah pam mengalami kerosakan dan dihantar kepada kontraktor untuk pembaikan.

"Sebuah lagi pam ditambah dengan kontraktor dilantik pada 18 Ogos lalu menggunakan peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Projek ini (pemasangan pam baharu) dijangka mengambil masa enam bulan.

"Apabila siap, Taman Mutiara Bukit Raja mempunyai empat pam kawalan banjir milik MPK," katanya.

Difahamkan, pemasangan pam berkenaan membantu menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan perumahan itu.

Semalam, Harian Metro melaporkan rayuan penduduk Penghuni Taman Mutiara Bukit Raja di sini yang berharap isu banjir kilat dihadapi mereka hampir 20 tahun lalu diatasi segera.

Ia berikutan banjir kilat terbabit menyebabkan banyak kerosakan harta dan kerugian kepada penduduk.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi berkata, beliau membawa isu berkenaan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 2018 dan 2019 dengan kelulusan diperoleh untuk membina kolam takungan di kawasan itu.

"Kelulusan diperoleh pada 2019 cuma ambil masa panjang selepas negara dilanda Covid-19 yang mana dua tahun isu pentadbiran berkaitan peruntukan membina kolam takungan itu tidak dapat bergerak.

"Alhamdulillah pada 2022, ia diluluskan semula dan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) pecah tanah dilakukan dan insya-Allah dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Sepatutnya ia sudah dimulakan, saya sedia semak semula dengan Jawatankuasa Infrastruktur bagi mengenal pasti punca kelewatan projek ini," katanya.

Pada Julai lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Selangor, Izham Hashim mengadakan majlis pecah tanah kolam takungan berkenaan yang dianggarkan berkeluasan dua hektar dengan kedalaman 1.7 meter.

Kolam takungan itu dibina di tanah lapang milik konsesi lebuh raya Grand Sepadu (NK) Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam projek tebatan banjir negeri dengan kos pembinaannya RM7.3 juta.

Difahamkan projek itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 7:01 AM