Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Jasin: Tiga keluarga mendiami Taman Mewah Bemban, di sini, hidup dalam kebimbangan susulan ancaman hakisan dan tanah runtuh yang berlaku di belakang kediaman mereka sejak sembilan tahun lalu.

Keadaan hakisan dan runtuhan tebing itu bertambah serius susulan pelepasan air kumbahan selain diburukkan lagi apabila berlaku hujan lebat.

Suri rumah, R Thilaghwathy, 42, berkata, masalah itu dikesan bermula sejak 2014 dan semakin teruk Disember tahun lalu apabila berlaku runtuhan besar hingga membentuk tebing tinggi dan cerun.

Dia berkata, rumahnya paling terjejas hingga mengalami keretakan pada dinding di bahagian dapur, bilik tidur dan bilik air akibat runtuhan itu.

"Bahagian lantai dapur juga retak dan pecah akibat tanah mendap. Kami sudah membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk membaiki kerosakan. Bagaimanapun pembinaan tembok penahan tergendala kerana kami tidak cukup wang.

"Suami, S Loganathan,46, sudah banyak kali membuat aduan kepada pihak berwajib namun tiada tindakan.

"Akhirnya insiden yang kami bimbangkan berlaku penghujung tahun lalu apabila runtuhan besar berlaku. Pokok pada cerun itu turut tumbang hingga membentuk rekahan besar. Malah aliran air hujan mencurah seperti air terjun," katanya yang berpindah dari Ayer Merbau ke taman itu pada 17 Oktober 2012.

Thilaghwathy berkata, mereka merayu dan berharap runtuhan tebing itu dilakukan pembaikan segera oleh pihak berkuasa demi keselamatan keluarganya seramai enam orang.

"Setiap kali hujan, kami sekeluarga tak lena tidur memikirkan hakisan dan risiko runtuhan tanah.

"Kami bukan orang senang..Saya sendiri terpaksa gadai barang kemas sebanyak RM20,000 dan keluarkan semua duit simpanan untuk baiki kerosakan rumah.

"Sebelum ini bomba dan polis ada datang dan menasihati kami berpindah segera atau menumpang di rumah saudara mara jika runtuhan makin teruk," katanya.

Katanya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron, Ahli Dewan Undangan Negeri Kesidang, Allex Seah Shoo Chin, pegawai jabatan dan agensi kerajaan turut meninjau runtuhan tebing itu kelmarin dan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, jirannya, Chan Sai Leong, 46, dan Muhammad Yusri Abdul Rahman, 30, turut senada dan berharap masalah itu diatasi segara bagi mengelak risiko keselamatan dalam jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 2:44 PM
Runtuhan tebing menjejaskan tiga rumah di Taman Mewah Bemban, Jasin. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Runtuhan tebing menjejaskan tiga rumah di Taman Mewah Bemban, Jasin. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad