BAHAGIAN bumbung luar Masjid Taman Rinting runtuh, petang kelmarin.
BAHAGIAN bumbung luar Masjid Taman Rinting runtuh, petang kelmarin.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Jemaah Masjid Taman Rinting di sini, gempar apabila bumbung bahagian luar masjid itu runtuh petang kelmarin.

Insiden berlaku jam 4 petang itu bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan.

Jemaah masjid yang enggan dikenali berkata, berlaku kebocoran pada bumbung luar masjid hampir seminggu lalu.

Katanya, ruang masjid di bawah bumbung itu ditutup untuk dilalui jemaah sejak berlaku kebocoran itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kawasan ini memang kami sudah tutup sebab tak mahu ada jemaah lalu di bawah bumbung ini.

“Malah Jumaat pun semua solat di ruangan dalam dan atas, tiada yang solat di bahagian luar ini.

“Tak sangka pula ia runtuh. Mungkin kerana hujan beberapa hari lalu dan hujan lebat semalam (kelmarin) menyebabkan ia tidak dapat menampung air lagi lalu runtuh,” katanya.

Tinjauan di masjid berkenaan mendapati kontraktor pembinaan sudah dipanggil pihak pengurusan masjid bagi menjalankan kerja pembersihan dan pembaikan.

Namun, beliau menafikan ada dakwaan yang tular di laman sosial mengatakan masjid itu runtuh.

“Bagi kami ini hal dalaman, tetapi mungkin ia tular apabila ada pihak menggunakan perkataan masjid yang runtuh, sedangkan ia hanya membabitkan bumbung di bahagian luar masjid dan tiada kecederaan mana-mana jemaah,” katanya.

Di laman Facebook (FB) JB Traffic Report, seorang pengguna FB yang mendakwa dia adalah penduduk di taman itu juga berkata, kawasan bumbung runtuh itu disebabkan takungan air hujan sudah penuh.

“Kawasan yang runtuh ini disebabkan takungan air hujan penuh di atas bumbung itu. Ada lagi tempat bertakung yang masih belum diselenggara,” katanya.

Seorang lagi pengguna FB mendakwa kejadian bocor itu sudah lama berlaku.

“Memang dah lama rasanya ada masalah siling itu. Tahun lalu, ada sekali singgah solat dan masa itu hujan lebat, basah lantai dan semua ruang belakang itu ada air turun dari siling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 7:19 AM