Anggota bomba berusaha menangkap seekor buaya di Kampung Hilir Tabuan, Kuching, malam tadi. FOTO IHSAN JBPM
Anggota bomba berusaha menangkap seekor buaya di Kampung Hilir Tabuan, Kuching, malam tadi. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Penduduk Kampung Hilir Tabuan, di sini, gempar apabila seekor buaya ditemukan di bawah salah sebuah rumah penduduk, malam semalam.

Akibat bimbang diancam buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter itu, penduduk menghubungi bomba untuk menangkap reptilia terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya diarahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi didapati ada seekor buaya bersembunyi di bawah rumah penduduk dan anggota bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menangkapnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, buaya berkenaan kemudian dibawa ke BBP Tabuan Jaya sebelum diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 4:45 PM