Liza Abdullah bersama anak lelakinya.
Liza Abdullah bersama anak lelakinya.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon senior, Liza Abdullah, mahu anaknya, Zulsyahmi Naqib untuk mencipta nama dengan usaha sendiri dan bukan ditawarkan kerja seni kerana 'kabel' daripadanya.

Liza, 60, ketika dihubungi berkata, dia menggalakkan Naqib, 22, yang kini mula bergiat aktif dalam industri hiburan untuk menyertai kelas lakonan sekali gus mengasah bakatnya.

"Ada juga kawan pengarah dan penerbit yang mahukan dia (tawarkan), tapi kadang-kadang mungkin mereka mahukan kerana Naqib adalah anak saya.

"Saya takut kalau mereka hampa dengan lakonan dia nanti tak akan ada yang tegur sebab anak saya, jadi saya tak mahu perkara itu.

"Kalau boleh ketika ini biarlah dia pergi kelas lakonan biar ada asas dan keyakinan terlebih dahulu sebab sebelum ini dia agak kurang yakin untuk berlakon.

"Saya mendoakan yang terbaik untuk dia. Kalau orang suka dengan kehadiran dia dan boleh memberi manfaat kepada orang, saya harap dia boleh teruskan dalam bidang ini," katanya kepada Harian Metro.

Liza juga menganggap tawaran yang diterima Naqib adalah sebagai pembuka pintu rezeki buatnya.

"Kalau boleh, saya sama sekali tak mahu gunakan kedudukan saya ini untuk menaikkan namanya. Saya mahu dia mencuba sendiri untuk terus bertahan dalam bidang ini.

"Bagaimanapun, sejak kami terbabit dalam program Jom Berbuka yang ditayangkan di TV3, banyak tawaran yang datang untuk kami.

"Ini pun mungkin rezeki dia sebab menjaga saya. Pada masa sama, saya nasihat dia supaya ambil peluang ini, berikan yang terbaik, jaga nama saya dan jangan hampakan orang," katanya.

Sejak muncul dalam program masakan itu, nama Naqib mula menjadi sebutan lebih-lebih lagi apabila wajahnya dikatakan mirip dengan Justin Timberlake dan Tomok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 4:58 PM